Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta mendakwa, individu berkenaan yang memiliki kilang mengeluarkan minyak wangi gagal menyiapkan tempahan minyak wangi jenama Precious yang diusahakan aktres berkenaan.

Datuk yang sama tegas Che Ta, sebelum ini pernah tular kerana turut menipu pasangan pelakon lain sehingga kerugian RM100,000.

Apa yang dikesalkan Che Ta ialah, sudahlah tempahan minyak wangi gagal disiapkan sehingga menyebabkan wangnya lesap, Datuk berkenaan boleh pula menukar kereta mewah baharu.

“Saya ingat boleh percayakan dia tapi rupa-rupanya dia berniat jahat. Bayangkanlah dengan wang hasil penipuan itu, dia boleh tukar kereta baharu, tambah isteri dan macam-macam lagi,” katanya kepada Utusan Online.

Tambah Che Ta, 44, meskipun perjanjian itu dilakukan tanpa sebarang dokumen hitam putih, namun pelakon berkenaan masih menyimpan segala bukti pembayaran yang dilunaskan kepada Datuk berkenaan.

“Saya tidak membuat sebarang laporan polis kerana tidak ada kontrak yang ditandatangani. Kami akui itu silap kami, tetapi kami masih simpan segala butiran urusan jual beli dengan individu itu.

“Saya redha dan anggap bukan rezeki saya serta menghalalkannya. Walaupun ditipu ribuan ringgit tetapi Insya-Allah rezeki kami sekeluarga akan bertambah,” katanya penuh optimis. - UTUSAN ONLINE