Petang ini, kumpulan yang popular dengan lagu berjudul Kelmarin, 7teen Band akan beraksi di atas pentas, Panggung Utusan di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi, di sini.

Dibarisi oleh Ruzaini (vokal), Haikal (pemain bass), Amir dan Fahmi (gitar) serta Hakimi (cajon), 7teen Band telah menyediakan 10 buah lagu untuk menghiburkan para penonton segmen Busking Bersama Buskers.

Segmen hiburan santai ini berdurasi selama satu jam dan selain daripada diperdengarkan lagu Kelmarin, 7teen Band juga akan menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Ukays berjudul Seksa.

7teen Band yang ditubuhkan pada tahun 2015 dan berasal dari Johor Bahru, Johor, banyak membuat persembahan secara busking di sekitar Bazar Karat, pasar Pandan, Paradigm Mall, Taman Cempaka dan Plaza Angsana di Johor.

Mereka masih giat dan aktif mengadakan persembahan secara busking di kawasan yang berhampiran dengan mereka. - UTUSAN ONLINE