Walaupun ada yang melihat itu sebagai kelebihan, namun bagi kumpulan ini, berada dalam zon selesa bukan impian. Masih mahu bersaing dalam membawakan muzik berbeza buat pendengar, ternyata Bunkface masih berusaha keras memastikan muzik dan jenama mereka terus relevan.

“Benar Bunkface sudah 12 tahun dalam industri, namun pada waktu sekarang masih banyak yang perlu kami belajar tentang muzik.

“Sebabnya kami mahu Bunkface terus relevan dan untuk mencapai keadaan itu kami bersedia melakukan eksperimen dalam mendapatkan muzik yang sesuai dengan peminat masa kini,” kongsi Sam selaku vokalis kumpulan.

Memiliki senarai lagu yang menjadi kegemaran peminat, Bunkface yakin pada usia kini ada fasa berbeza yang perlu dilangkau dalam memastikan muzik dewasa.

“Walaupun sudah 12 tahun dalam industri, kami masih lagi belajar dan banyak perkara lagi yang kami ingin teroka. Macam saya sendiri, muzik yang saya tulis kini juga berbeza kerana kehidupan yang saya lalui.

“Jika dahulu lebih kepada kisah kehidupan remaja yang banyak memberontak, kini lebih kepada kisah cinta. Sebab kami bertiga sudah berkahwin dan sudah mempunyai anak.

“Ini fasa yang berlaku dalam Bunkface, namun yang boleh saya janjikan, muzik pop itu sendiri akan terus mewarnai muzik kami,” katanya lagi.

Yakin masih terlalu awal untuk meletakkan mereka pada tahap tertinggi kata Sam, waktu ini mereka sentiasa melihat kehadiran penyanyi baharu sebagai pesaing terdekat.

“Kami ingin terus bersaing secara sihat dengan penyanyi-penyanyi generasi baharu. Kami sentiasa anggap kami juga satu lagi kumpulan baharu yang pada masa sama, sentiasa mengkaji jenis muzik yang dibawa oleh penyanyi baharu masa kini. Sebab kami juga mahu muzik Bunkface mendapat sentuhan yang berbeza demi peminat,” katanya.

Melalui perjalanan panjang untuk meletakkan nama Bunkface pada tahap ini, Sam bagaimanapun tidak melihat perlu mereka mendabik dada, malah menolak untuk melahirkan satu lagi kumpulan baharu dalam memastikan legasi Bunkface terjamin.

“Masih terlalu awal untuk itu. Ada terfikir tetapi buat masa ini semuanya masih terlalu awal untuk Bunkface. Mungkin kami akan lahirkan sebuah grup baharu hasil bimbingan Bunkface cuma waktunya bukan sekarang.

“Sebab kami sendiri masih berusaha untuk meletakkan dan mengukuhkan nama Bunkface dalam industri buat masa ini. Sejujurnya memang ada yang membuat tawaran untuk dilatih Bunkface tapi kami tolak dahulu,” katanya jujur.

Kelainan Shiver

Hadir dengan single baharu berjudul Shiver, Bunkface akui, lagu ini memberi kelainan buat muzik mereka. Jelasnya, jika sebelum ini muzik pop punk menjadi identiti mereka nampaknya kali ini tidak lagi.

“Walaupun kami dikenali sebagai band yang mempertaruh lagu-lagu bergenre pop punk, kami sebenarnya bereksperimen dengan muzik terutama muzik pop itu sendiri.

“Shiver adalah lagu yang kami sesuaikan dengan kehendak peminat zaman sekarang.

"Dalam kata lain, ini adalah nafas baharu yang Bunkface cuba perkenal dalam muzik kami. Dan tentunya kami harap peminat dapat terima lagu ini yang akan turut dimuatkan dalam album terkini kami yang akan dilancarkan pada hujung tahun ini,” kata Youk selaku pemain bass kumpulan ini.

Bercakap mengenai album baharu mereka, kata Youk, selepas empat tahun tentunya satu kepuasan untuk kumpulan tersebut melahirkan album yang mengandungi lapan buah lagu di dalamnya.

“Album ini mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan dan kami akan lancarkan pada hujung tahun ini.

"Mengandungi empat buah lagu Melayu dan empat lagi Inggeris, tentunya album ini akan memberi pengalaman berbeza buat pendengar.

“Antara lagu yang akan dimuatkan adalah Shiver dan Apa Pun Tak Boleh hasil kolaborasi dengan Datuk Jeffrydin dan Caprice,” kongsinya lagi.