Walaupun mungkin pada mata kasar segelintir masyarakat, imej rocknya sedikit menggerunkan, namun sebenarnya lelaki berusia 50 tahun ini penuh dengan sisi humor dan selorohnya.

Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, dia kekal tenang dan tidak mudah dijentik. Tidak mahu berbicara soal mistik dan sihir yang sedang dihadapi, Awie ada cerita lain.

Melihat dunia muzik rock yang kelihatan seperti tidak ada pelapis, Awie mengakui, jelik dan bosan dengan kumpulan anak muda yang sekadar menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan rock tempatan.

Tidak berdisiplin, kurang rasa hormat dan berlagak bagus, itu antara sikap pendatang baharu yang menyakitkan mata Awie. Bukan mahu disembah dan dipuja cuma secebis rasa hormat perlu ada untuk memajukan industri.

Baginya, ilmu seseorang artis tidak datang dari media sosial seperti yang dibanggakan-banggakan pendatang baharu. Populariti yang dikejar mungkin hanya akan bertahan seketika cuma.

“Mereka tak ada pengalaman lagi sebab itu ada yang tidak berdisiplin. Saya bukan nak angkat diri tetapi saya diajar dari dulu untuk menunjukkan rasa hormat kepada mereka yang lebih tua dan berpengalaman.

“Tak salah untuk kita tunjuk rasa hormat kepada mereka. Saya sendiri akan jumpa mereka dan memperkenalkan diri. Jangan nak tunjuk hebat sangat. Itu sikap perasan bagus.

“Kita sendiri tidak tahu jalan mana harus dilalui, cabaran apa harus ditempuh. Jadi berkongsi ilmu dan pengalaman itu penting. Industri seni bukan mudah,” kata vokalis kumpulan Wings ini.

Tidak menolak media sosial adalah antara faktor segelintir pendatang baharu ‘besar kepala’, Awie menitipkan pesanan supaya anak-anak muda tidak mudah terpengaruh dengan sogokan imej mewah yang dipamerkan dalam media sosial.

“Mereka rasa dalam media sosial sahaja sudah cukup untuk berjaya. Memang tidak dinafikan, ada yang buat duit menggunakan media sosial. Tapi sebagai penyanyi, kita kena ada bakat menyanyi.

“Ilmu dan teknik sebagai seorang penyanyi perlu ada. Sebab itu kena banyak tanya dengan mereka yang berpengalaman. Media sosial itu untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

Diaju soalan, tidakkah dia mahu mengumpul anak-anak muda yang meminati genre rock untuk digabungkan dalam satu kumpulan, sama seperti anak didiknya dahulu, Kristal, kata Awie bukan tidak mahu.

Tetapi sikap biadab anak-anak muda sekarang yang merasakan diri mereka serba tahu menjadikan Awie sedikit ralat untuk merekrut bakat-bakat muda yang bersikap demikian.

“Memang kita nampak, pelapis rock tidak ada. Kristal suatu ketika dahulu berjaya membuktikannya, tetapi saya menyuruh mereka untuk menjadi pemuzik bukan ‘mat rock’ untuk masa depan lebih cerah.

“Bukan saya tak mahu cuma mungkin sekarang bukan waktu yang sesuai. Mungkin dalam lima tahun lagi, saya akan rekrut bakat muda dan tubuh sebuah kumpulan rock baharu,” katanya.