Penyanyi rock otai ini sedar ada keperluan lain yang seharusnya menjadi tunggak hidup, bukan terlalai dengan keseronokan dunia atau terlalu fokus mencari wang.

Kata Hattan atau nama penuhnya, Mohd. Shukri Shahabudin. segalanya berubah sekembalinya beliau dari tanah suci. Bukan mahu mengakui diri hebat, namun keinsafan tersebut hadir secara semulajadi. Lantas, Hattan mahu membuang segala perkara negatif yang pernah dilakukannya dahulu.

Malah akui penyanyi lagu Bisa Bonar ini, melihat teman-teman seperjuangan jatuh sakit termasuk teman baiknya, Datuk Awie yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini, situasi tersebut mengundang insaf agar lebih tegar menjaga diri dan kesihatan.

“Benar, cara hidup saya sudah berubah selepas menunaikan haji pada Ogos 2017. Sebelum ke sana, keinginan untuk ke tanah suci datang membuak-buak sehingga saya menolak undangan menyanyi sempena Sukan SEA Ke-29.

“Kemudian bila lihat rakan-rakan seangkatan sakit, saya menjadi insaf dan mahu lebih mendekatkan diri dengan Allah.

“Dulu saya akui kadang-kadang lalai dalam melakukan suruhan wajib. Sejak balik dari Mekah, saya tidak tinggal solat lima waktu.

“Bercakap tentang solat, ini paling penting dalam hidup kita. Itu juga pertahanan diri dari segi fizikal dan mental. Jadi usahakanlah untuk menjaga solat lima waktu.

“Apa yang boleh saya kongsi, hidup rasa lebih seronok dan tenang sangat bila tidak meninggalkan solat. Keindahan itu sukar diluahkan dengan kata-kata,” kata Hattan jujur.

Malah katanya, nikmat ketenangan itu juga membuatkan hubungan beliau dan isterinya, Datin Arianie Abidin, 47, berubah dan menjadi lebih positif.

“Sekarang saya sudah jarang bergaduh dengan isteri. Kalau tidak, ada saja isu yang membuatkan kami bergaduh walaupun perkara kecil. Pendek kata, hubungan suami isteri lebih bahagia apabila kita mengutamakan tanggungjawab kepada Allah.

“Dulu, kalau duit kurang cukup, saya akan stres. Sekarang bila tunaikan solat lima waktu, duit tak cukup pun saya tidak rasa risau, malah hati lebih reda.

“Tipulah kalau cakap tidak pening bila ada masalah, tetapi jiwa itu lebih tenang berhadapan dengan ujian serta perancangan yang dibuat tidak kelam kabut.

“Selain itu, saya juga selalu bertawakal kepada Allah, tidaklah seperti dulu asyik nak cari duit sampai abaikan solat. Sekarang, rezeki yang ada pun cukup dan boleh dikatakan hidup senang. Dalam usia sekarang bukan masanya untuk saya terlalu mengejar kebendaan.

“Lagi satu, hati kita juga mudah tenang apabila kita banyak bersedekah. Ada pelbagai cara bersedekah dan kita rasa seronok berkongsi rezeki walaupun sedikit.

“Bila kita menjaga hubungan dengan Allah, segala keperluan kita akan dicukupkan oleh-Nya,” kata Hattan.

Stres dan rokok

Memasuki usia lebih separuh abad, Hattan akui dia lebih menjaga kesihatan fizikal dan mental. Seboleh mungkin dia mahu menikmati hidup yang lebih baik dan menenangkan.

“Perkara pertama yang saya elakkan adalah stres. Stres adalah punca banyak penyakit seperti serangan jantung dan kanser. Dalam usia ini, tak payahlah stres dengan kerja lagi. Cukup-cukuplah usaha keras semasa muda. Kekalkan apa yang ada dan utamakan kesihatan.

“Dari segi pemakanan, saya masih makan nasi macam biasa. tetapi pada waktu siang sahaja. Pengambilan nasi pun dalam kuantiti yang sedikit, lebihkan lauk dan sayur-sayuran serta banyakkan minum air kosong. Kalau boleh elak minuman manis.

“Untuk kekal sihat, saya juga sudah lebih setahun tidak merokok. Ia bagus untuk kesihatan dalaman dan persekitaran, cuma selera makan jadi lebih tinggi. Isteri yang banyak kawal pemakanan saya untuk mengelak obesiti.

“Apa sahaja perkara buruk yang saya amalkan satu ketika dahulu, saya buang jauh-jauh kerana saya sedar itu semua tidak membawa kebaikan, malah merosakkan diri dan mendatangkan penyakit.

“Selain itu, rajin-rajinlah periksa kesihatan terutama jantung. Kadang-kadang orang tidak sedar jantung mereka bermasalah,” jelas Hattan yang turut bersukan seperti berbasikal bagi mengekalkan stamina.

Bisnes

Selain menyanyi, Hattan kini aktif menjalankan bisnes baju Melayu dan jubah jenamanya sendiri iaitu DH (Datuk Hattan) Exclusive by Arianie. Isterinya pula mengeluarkan girdle Turki serta tudung dan selendang jenamanya sendiri.

“Baju Melayu dan jubah saya yang menggunakan kain kapas Itali ini mempunyai tujuh warna kesemuanya. Idea muncul dengan pakaian jenama sendiri adalah atas permintaan peminat dan sokongan isteri.

“Jenama DH sudah memasuki pasaran dan mula mendapat tempahan sempena hari raya akan datang. Kami bersedia lebih awal dengan tempahan yang banyak.

“Dalam masa sama, saya juga membantu isteri dalam bisnesnya,” kata Hattan yang akan muncul dengan lagu terbaharu ciptaan Datuk M.Nasir tidak lama lagi.