Ada yang mendakwa perceraian mereka disebabkan wujudnya rasa ego, kepentingan harta dan gangguan orang ketiga.

Namun tuan punya badan, Mawar menepis spekulasi dan andaian tersebut sekeras-kerasnya.

“Kami bercerai bukan sebab harta, ego atau orang ketiga. Ketiga-tiga faktor ini tidak wujud,” luah Mawar yang tidak mahu mendedahkan punca perpisahan mereka.

Katanya, Fizo seorang yang bertanggungjawab, anak yang taat dan abang yang baik terhadap keluarganya.

“Bila perpisahan ini berlaku, pastinya saya sedih. Ini pengorbanan dalam hidup saya buat Fizo sekeluarga. Apa yang terjadi mungkin ada hikmah untuk masa depan saya.

“Apapun kami akan terus berkawan baik demi anak, Wan Maryam,” jelas Mawar yang lebih memikirkan soal anak berbanding hubungan mereka pada masa akan datang.

Sama ada peluang untuk kembali bersama masih wujud, kata Mawar, dia tiada jawapan untuk soalan itu dan belum memikirkannya.

“Maaf. Saya tiada jawapan kerana perlu menjaga hati banyak pihak. Kalau saya cakap, mungkin boleh disalah tafsir oleh orang luar.

“Sudah tentu semua wanita sayangkan rumah tangga. Saya cuba selamatkan perkahwinan ini, bukannya tidak mencuba. Selama enam tahun tempoh menjadi suami isteri, saya dan Fizo cuba tapi saya reda mungkin sampai di sini sahaja.

“Saya korbankan seluruh kebahagiaan, kasih-sayang saya untuk kebahagiaan Fizo sekeluarga,” ujar Mawar dengan nada tenang.

Sementara itu, Fizo yang juga ditemui Hits kelihatan sedih, namun masih berupaya mengucapkan terima kasih kepada Mawar kerana pernah menjadi isteri terbaik buatnya selama ini.

Tidak menolak yang dia masih menyayangi Mawar, Fizo bagaimanapun yakin hubungan mereka sekeluarga akan menjadi lebih baik dan sama-sama menggalas tugas membesarkan Maryam.

“Saya masih sayangkan Mawar. Terima kasih kerana menjadi ibu terbaik kepada anak saya.

“Kami berdua baik-baik sahaja. Tidak ada pergaduhan, malah sehingga ke hari ini hubungan kami masih baik.

“Perceraian bukanlah suatu perkara yang baik. Tetapi itu semua takdir Allah kepada kami. Saya percaya ada hikmah dan ada perkara positif selepas ini.

“Saya minta agar segala berita yang keluar tentang perpisahan ini akan menjernihkan lagi keadaan, agar hubungan kekeluargaan kami kekal baik,” katanya.

Semalam, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, melafazkan talak satu terhadap Mawar Abdul Karim, 30, pada pukul 10.55 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pasangan ini bernikah pada 10 November 2014 dan dikurniakan anak perempuan berusia dua tahun.