Kebanyakan mereka bertumpu di Perancis, yang menyaksikan perkembangan budaya dan penteorian filem fasa terawal ketika era filem bisu lagi. Ketika era 1910-an, Paris yang menjadi hab antarabangsa seni dan budaya sudah mendirikan sebuah forum awam yang didedikasikan kepada sinema. Ini termasuklah spektrum luas bagi wahana penulisan dan penelitian filem daripada jurnal dan majalah perfileman yang khusus hinggalah ke ruangan pojok akhbar harian, yang telah memperlihatkan sumbangan para intelektual, penulis dan karyawan.

Louis Delluc misalnya, seorang pengarah filem terawal gerakan Impresionisme Perancis, merupakan pengkritik berpengaruh era tersebut dengan mula menulis kritikan untuk Comoedia Illustre, sebuah majalah seni mingguan. Kemudian beliau menjadi ketua penyunting bagi Le Film, majalah terawal memfokuskan kepada sinema sebagai medium baharu. Delluc kemudian terus menjadi figura penting dengan menubuhkan kelab dan komuniti filem dalam membantu menyuburkan budaya filem. Beliau menerbitkan kompilasi penulisannya dalam Cinema et Cie (1919) dan mengasas jurnal baharu, Cinea (bermula tahun 1920). Kebanyakan penulisan Delluc memperlihatkan retorika yang bersifat polemik dan spekulatif bagi memprovokasi ilmu pengetahuan dan menjana idea-idea baharu dengan mengambil pendekatan yang tidak konvensional bagi mengenal pasti potensi artistik medium ini. Beliau mendakwa yang filem satu-satunya seni moden yang sebenar kerana ia adalah hasil cetusan teknologi dan impian manusia. Ini kerana, menurut Delluc, filem dapat memahamkan kita perkara-perkara di dunia ini serta menggesa untuk mengenali diri sendiri.

Ricciotto Canudo pula merupakan penteori filem Itali yang tinggal di Perancis. Beliau melihat sinema sebagai plastic art in motion dan menggelarkan sinema sebagai seni keenam dalam manifestonya, The Birth of the Sixth Art (diterbitkan pada tahun 1911). Beliau menghujahkan yang sinema adalah seni baharu yang melibatkan pertalian kuat antara ritma-ritma ruang (seni plastik) dan ritma-ritma masa (muzik dan puisi), satu sintesis kepada lima seni purba: senibina, arca, lukisan, muzik dan puisi. Kemudian, Canudo memasukkan tarian sebagai seni keenam (seni beritma ketiga selepas muzik dan puisi), lalu meletak dudukkan sinema sebagai seni ketujuh. Di Paris, Canudo melancarkan majalah avant-garde, Le Gazette de sept arts (pada tahun 1920) dan mengasas kelab filem pertama di dunia, CASA (Club des amis du septieme art) pada tahun 1921 yang menjadi medan pertemuan dan perkongsian bagi para penulis dan pembikin filem.

Selain Delluc dan Canudo, muncul figura lain yang penting dalam arena penteorian filem seperti Germaine Dulac dan Jean Epstein, kedua-duanya juga dikaitkan dengan gerakan Impresionisme Perancis. Dulac, yang memulakan karier penulisannya dengan majalah-majalah feminis terawal, merupakan sutradara wanita yang melibatkan diri dalam usaha penteorian sinema avant-garde, selain menghasilkan filem-filem dengan visi sosial yang progresif, anti-borjuis dan feminis. Dulac memperkenalkan istilah ‘impresionisme’ bagi menghuraikan stail sinematik yang berkembang selepas itu bila para pengkritik Perancis mula menulis di pelbagai ruangan kreatif dalam mengembangkan minat penteorian mereka. ‘Impresionisme’ memanfaatkan teknik-teknik perfileman bagi menerokai garis sempadan yang kabur antara kehidupan interior dan realiti eksterior. Menurut Dulac, sinema sememangnya dilengkapi untuk mengekspresikan mimpi, memori, pemikiran, dan emosi tertentu. Antara lain beliau mengenal pasti teknik superimposition (yakni, kombinasi atau tindan-lapis dua imej yang berbeza) sebagai satu cara bagi mempersembahkan proses internal yang jika tidak akan kekal bersifat tanpa disedari (oleh indera atau deria).

Sepanjang era 1920-an telah muncul seorang lagi pengarah filem gerakan Impresionisme Perancis dan sinema avant-garde serta penteori filem penting, Jean Epstein. Beliau dikenali dengan istilah dan konsep photogenie dalam penulisannya, satu istilah yang turut muncul dalam penulisan penteori lain seperti Delluc, Leon Moussinac, Canudo, Henri Fescourt dan Jean-Louis Bouquet, yang kesemuanya diterbitkan di Perancis, 1920-1925. Photogenie adalah konsep yang hingga ke hari ini dianggap ramai pihak sebagai misterius, enigmatik dan ‘sukar ditembusi maksudnya’. Ia merujuk beberapa lapis dan cabang pengertian seperti magis sinema, esensi atau sifat semula jadi sinema, hal kespesifikan medium, serta kuasa sinema yang dapat mentransformasikan hal-hal harian kepada sesuatu yang unik dan istimewa.

Secara estetiknya, photogenie dikaitkan dengan transformasi, ekspresi, hal-ehwal masa, ritma, dan mobiliti antara lainnya. Epstein menggesa pembikin filem lain untuk memanfaatkan peranti-peranti yang dapat menyerlahkan sifat semula jadi sinema seperti penggunaan extreme close-up, pergerakan kamera secara eksperimental dan manipulasi aspek masa.

Contohnya, bagi Epstein close-up adalah soul kepada medium sinema dan merupakan peranti yang mengangkat elemen sinematik. Secara budayanya, photogenie mencadangkan supaya filem diabsahkan sebagai seni dengan menghujahkan yang filem dapat merentasi sifat asas fotokimia atau mekanikalnya yang akhirnya dapat berdiri sebagai satu bentuk seni. Bagaimanpun, setelah kemunculan sinema bersuara (dengan teknologi bunyi), istilah tersebut telah tidak digunakan lagi melainkan Epstein sendiri yang sering memanfaatkannya.

Budaya filem Perancis sekitar 1910-an dan 1920-an menyumbang secara signifikan kepada usaha penteorian filem bagi membuktikan yang sinema adalah seni dalam konteks tersendiri dan unik. Hal ini diwajarkan ruang dan wahana bagi pelbagai aktiviti perfileman dari penulisan tentang filem hingga ke pendekatan baharu (alternatif) penghasilan filem. Perkembangan awal ini adalah katalis kepada lanjutan budaya filem intelektual di Perancis dengan kelahiran sejumlah pemikir filem penting seperti Andre Bazin, Jean Mitry, Edgar Morin, Jean-Louis Baudry dan Christian Metz. Selain mencetuskan gerakan dan disiplin akademik, filmology (merupakan asal-usul disiplin film studies) di Perancis pada era 1940-an dengan objektif membangunkan pengajian sinema secara kritikal, komprehensif lagi sistematik.