Gempar seketika dunia media sosial apabila para gadis di Indonesia bagaikan dijampi dengan sifat kelakian Bront.

Tidak hairan, namanya kini menjadi sebutan pengarah dan produser filem di republik tersebut.

Bersua bicara dengan pelakon berusia 40 tahun ini, pelbagai persoalan dirungkai. Dari kaca mata Bront, apakah sebenarnya yang membataskan industri filem kita?

Apakah halangan sehingga kita dilihat sedikit kelewatan untuk menghasilkan filem-filem bertaraf antarabangsa dan dengan mudah kita seolah-olah dipintas oleh negara lain?

Apakah pemikiran penonton yang begitu malas untuk berfikir menyebabkan ramai produser tidak berani mengambil risiko atau pun kita kekurangan buah fikiran untuk menghasilkan filem mahakarya sendiri?

Tenang mengatur butir bicara supaya tiada pihak yang tersinggung, Bront berpendapat, yang benar-benar membezakan industri filem tempatan dengan negara seperti Indonesia adalah cara pemain industri itu sendiri dalam menghargai kerja.

“Kita lihat Ayat-ayat Cinta merupakan filem pertama yang membicarakan tentang agama. 10 tahun lalu, tiada filem di pawagam Indonesia ketika itu yang berani membincangkan sesuatu di luar kotak.

“Tiada filem yang menyentuh isu poligami, tiada filem yang membincangkan tentang soal agama. Sebab itu, filem tersebut berjaya menjadi antara filem terbaik Indonesia,” kata Bront membuka bicara.

Meluahkan buah fikirannya, Bront juga berkata, produser filem dan pengarah tempatan perlu mencuba walaupun sekali untuk menghasilkan sesuatu karya atau naskhah yang tidak pernah dibuat lagi.

Jelas pelakon kelahiran Kedah ini, selagi pemain industri kita tidak memberanikan diri untuk mencuba sesuatu, kita akan terus mengulangi idea dan karya yang sama sehingga penonton bosan.

“Jangan mudah melabelkan penonton kita sebagai malas berfikir atau tidak mahu menonton filem berat. Pada zaman Tan Sri P. Ramlee sendiri, Ibu Mertuaku bukan satu filem yang ringan. Isinya terlalu berat.

“Dari dahulu, kita sebenarnya tidak mempunyai masalah dengan penerimaan peminat terhadap satu-satu filem. Meletakkan mereka dalam satu kotak yang kita labelkan sendiri, itu tidak seharusnya berlaku.

“Kita ingat audiens kita tidak mahu filem-filem sebegitu. Jangan lupa, kita ada Ola Bola yang sungguh berjaya. Penonton menuntut filem-filem sebegitu,” kata penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Film Malaysia ke-23 menerusi filem Belukar.

Bukan mahu merendah-rendahkan industri filem tempatan, Bront sama sekali tidak mahu dilihat seperti kacang lupakan kulit. Dia mengharapkan agar ada lagi filem sehebat Polis Evo dan Ola Bola dihasilkan.

“Untuk menghasilkan sesuatu mahakarya, kita perlu buat yang terbaik. Dari segi lakonan, pengarahan dan keseluruhan produksi itu semua memainkan peranan yang sangat penting.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita mencari formula sebenar untuk membantu industri filem tempatan. Sama ada penonton bersedia atau tidak, itu bukan satu masalah.

“Industri filem kita mempunyai kepakaran produser, pengarah dan pelakon yang cukup hebat. Cuma kita menunggu masa untuk mendapatkan sebuah karya yang boleh membuka mata ramai pihak,” katanya.

Penonton sudah matang

Membawakan watak Baruch menerusi filem Ayat-Ayat Cinta 2 yang sedang hangat di pawagam memberikan satu nafas baharu dalam diari seni pemilik nama sebenar, Nasrul Suhaimin Saifuddin itu.

Tatkala mendapat tawaran untuk melakonkan watak seorang anti-Muslim dan pengganas Zionis membuatkan dia berkobar-kobar untuk mencuba sesuatu baharu yang tidak pernah dia terfikir.

Namun persoalannya, bersediakah Bront untuk berdepan dengan kecaman netizen yang suka mencari kesilapan dan mengharapkan kesempurnaan daripadanya? Tiadakah kerisauan yang menghantui hatinya?

“Risau? Tidaklah. Langsung tidak. Datuk Ahmad Mahmud membawakan watak sebagai syaitan dahulu tidak ada masalah. Watak Baruch ini tidak ada babak yang memesongkan akidah pun.

“Saya rasa penonton sama ada Malaysia atau Indonesia sudah matang. Mereka menghargai lakonan kita. Mungkin pada mulanya, ada yang bertanya biar betul watak anti-Muslim, kan?

“Tapi selepas menonton, mereka akan terima dan faham. Malah penonton juga dapat lihat variasi lakonan saya menerusi dua filem Pengabdi Setan dan Ayat-Ayat Cinta 2,” kata anak kelahiran Kedah ini.

Melihat graf lakonan Bront, dua filem Indonesia dalam tempoh satu tahun benar-benar meletakkan dia dalam kelas tersendiri. Dia juga sudah diikat dalam filem baharu Indonesia tidak lama lagi.

Namun tidak pernah sekali terlintas pada fikirannya untuk ‘meninggalkan’ dunia perfileman tempatan dan memberi fokus kepada kelangsungan kerjaya di republik tersebut.

“Saya rasa, semuanya akan jadi sama seperti sebelumnya. Cuma sekarang, saya ada pilihan tidak hanya di dalam negara sebaliknya negara luar seperti Indonesia juga menerima kehadiran saya.

“Saya lihat perkara ini lebih kepada insurans dalam kelangsungan kerjaya. Saya tidak bergantung kepada tawaran satu negara sahaja.

“Banyak skrip yang baik tetapi kita perlu mencari karya yang terbaik.

“Saya mahu kekal relevan dalam industri perfileman. Saya tidak mahu orang cakap, Bront bukan milik Malaysia lagi. Sini tumpah darahku dan saya akan terus kekal di sini,” katanya yang memulakan karier seni sekitar 18 tahun lalu.

Fedi Nuril pelakon yang bagus

Berbicara tentang filem Ayat-Ayat Cinta 2, watak Baruch benar-benar memberi cabaran kepada Bront. Bukan mudah untuk menjayakan watak seorang pengganas Zionis yang benar-benar kejam.

Apatah lagi, untuk berbahasa Hebrew sambil mengawal emosi seorang penganas, itu bukan semudah mematahkan sebatang pensil. Penjiwaan watak berada dalam keadaan maksimum.

“Baruch merupakan bekas tentera Israel dan dalam banyak-banyak kebetulan, dia berjiran dengan Fahri (lakonan Fedi Nuril). Di situ, percanggahan ideologi dan sifat anti-Muslim mula ditonjolkan.

“Malah saya juga dapat menyeksa dan cubaan merogol Sabina (lakonan Dewi Sandra). Baruch bukan watak jahat sebaliknya antagonis dalam filem ini,” katanya yang bakal tampil dengan Pengabdi Setan 2.

Membuka gelanggang cerita tentang pengalamannya berlakon dengan Fedi, Bront menyifatkan lelaki berusia 35 tahun itu sebagai seorang pelakon yang benar-benar memberi komitmen dan jiwa kepada wataknya.

Malah sebagai satu-satunya pelakon yang masih kekal dari filem pertama Ayat-Ayat Cinta, Bront berkata, Fedi banyak membantu pelakon lain untuk memahami jalan cerita dan jiwa filem itu.

“Fedi sangat bagus. Dia salah seorang pelakon lelaki terbaik. Dia tahu bila masuk sahaja sesi raptai, jiwa Fahri terus ‘merasuk’ dirinya. Dia juga sering membantu rakan pelakon lain.

“Dia sentiasa memastikan pelakon lain berada dalam lingkungan yang sama. Tak pernah pula dia bersikap berlagak atau ‘bossy’. Sangat beruntung dapat bekerja dengan Fedi,” katanya.