Brendan mengorak langkah mengetengahkan album ketiganya berjudul III The Album ke dalam pasaran pada
BRENDAN mengorak langkah mengetengahkan album ketiganya berjudul III The Album ke dalam pasaran pada Ogos ini.

Brendan James de Cruz, memberitahu, menulis sendiri lagu yang ada jiwa mengenai hubungan sesama manusia yang dikenalinya termasuk haiwan kesayangan menjadikan lelaki berusia 29 tahun ini punyai tarikan tersendiri.

“Saya meminati muzik kerana bapa saya juga seorang pemuzik. Tugas hakiki sebagai wartawan tidak pernah menghalang bapa saya untuk bermain muzik.

“Bermula dari situ, saya dan abang saya mula meminati dunia muzik. Kami didedahkan dengan muzik sejak zaman remaja,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Katanya, selepas melancarkan album pertama dan kedua, Brendan mengorak langkah mengetengahkan album ketiganya berjudul III The Album ke dalam pasaran pada Ogos ini.

Menurutnya, album terbaharu ini memuatkan lima lagu yang ditulis sendiri dan juga kolaborasi bersama band Nadir.

“Ini tahun ketiga saya berjinak secara sepenuh masa di dalam industri muzik,” katanya.

Tambah Brendan, kesemua lagu daripada album pertama sehingga yang terbaharu memuatkan lagu berkisar tentang emosi dan hubungan bergenre alternatif folk.

Beberapa lagu yang dimuatkan memperdengarkan irama yang dilantunkan secara solo, manakala selebihnya bersama band kolaborasinya.

Selain melancarkan album, Brendan bergerak aktif dengan menyanyi di kelab-kelab dan majlis perkahwinan.

“Lagu-lagu yang saya bawakan mungkin sesuai dengan mood ketika majlis perkahwinan kerana ia menggambarkan tentang hubungan pasangan,” katanya.

Ditanya cabaran di dalam bidang ini, Brendan mengakui agak sukar dia dikenali umum dan mendapat tempat di hati peminat muzik.

“Saya perlu menggandakan usaha untuk dikenali terutama melalui dalam talian. Saya sedang berusaha untuk memperbaikinya,” katanya.

Jelasnya, dia sedar, pemuzik pada hari ini perlu menggunakan teknologi internet yang ada pada hari ini untuk lebih maju dengan karya-karya yang dihasilkan.

“Saya tidak boleh mengharapkan jualan CD semata-mata. Untuk dikenali dan karya lebih dihargai, medium dalam talian adalah penting pada hari ini,” katanya.