Kemunculan juara musim pertama GV, Ayai Ilusi, Haiza, Zarul serta peserta musim ini seperti Shafie Rio, Farahwahida dan Safura mendapat sorakan serta tepukan gemuruh khalayak.

Nyata peminat Singapura bukan sahaja memberikan sambutan yang cukup meriah, malah mereka begitu menghargai kehadiran para artis.

Penulis berpeluang mengikuti rombongan artis-artis GV itu sewaktu mereka menjayakan persembahan anjuran Singtel TV dengan kerjasama Astro yang diadakan di Pusat Beli Belah Kinex.

Ternyata setiap kali seseorang artis jemputan itu naik ke pentas para peminat begitu teruja dan bersorak serta mengiringi nyanyian artis pujaan mereka.

Malah para artis yang berpeluang untuk menghiburkan peminat Singapura juga berbesar hati dengan jemputan yang diterima.

Malah kata mereka, program GV yang sudah memasuki musim kelima itu bukan sahaja memberikan peluang undangan persembahan pentas, tetapi juga merupakan platform yang terbaik untuk penyanyi lama kembali beraksi dan mengumpul peminat baharu seperti program tersebut, yang turut disiarkan menerusi Astro Ria Singtel TV CH 608.

Acara yang berlangsung kira-kira dua jam itu dikendalikan oleh personaliti televisyen, Elly Arifin dan penyiar radio, Dyn Norahim.

Persembahan pembukaan dimulakan oleh juara program Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid dengan lagu Suci Dalam Debu dan Di Matamu.

Safura sibuk penuhi undangan

MENJADI peserta pertama yang tersingkir dalam program musim kelima GV bukan menandakan perjalanan seni Safura Yaacob, 45, terhenti di situ. Sebaliknya, program GV5 yang disertainya membawa tuah kepada penyanyi yang sinonim dengan lagu Sedalam Mana Cintamu.

Jelas Safura, jika sebelum menyertai GV5, namanya sepi daripada radar seni tanah air kini rutin kehidupannya berubah 100 peratus.

“Alhamdulillah, selepas GV5 ini sibuk dengan beberapa undangan persembahan. Nak kata banyak sangat tak adalah tapi ada saja undangan termasuk tawaran berlakon drama, arahan Meor Hashim Manaf. Drama itu akan menjalani penggambaran di Kampar, Perak.

“Dalam drama itu saya berlakon sebagai ibu kerana saya memang suka cerita kampung begitu. Saya jarang ambil watak antagonis kerana lebih suka watak yang mengundang air mata," katanya yang turut membawa watak komedi dalam drama Ustazah Pencen yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Menurut Safura, dia menerima tawaran melakonkan watak komedi kerana mahu mencuba sesuatu yang lain daripada yang sering dilakonkan sebelum ini.

Menyentuh mengenai kemunculannya dalam program GV5, jelas Safura, program itu banyak membantu penyanyi lama seperti dirinya untuk kembali aktif.

“Bagi saya, program ini merupakan platform yang baik untuk orang lama seperti saya buat penampilan semula. Memang orang tertunggu-tunggu dan berebut untuk dapatkan peluang itu.

“Saya bersyukur kerana GV5 saya mendapat undangan persembahan di Singapura. Tak sangka peminat di sini masih menyokong saya.

"Sebenarnya tahun lalu, saya aktif datang ke Singapura tapi bukan menyanyi tapi sebagai peniaga. Saya ada produk sendiri Safura Marvellous iaitu produk sambal ikan masin dan saya antara orang pertama yang bawa sambal ke sini.

"Tahun ini saya rehat daripada berniaga bagi memberi tumpuan kepada nyanyian,” ceritanya.

Tambah Safura, lebih 15 tahun dia tidak mengadakan persembahan di Singapura dan peluang yang diberikan merai pelanggan stesen televisyen Singtel TV merupakan peluang keemasan buat dirinya dan artis yang lain.

Pada persembahan tersebut, seorang peminat yang diundang untuk menyanyi bersama-sama Safura tiba-tiba rebah selepas berduet dengan penyanyi itu.

“Tak sangka boleh berlaku begitu (peminat rebah)," katanya yang menganggap insiden itu kerana peminat tersebut teruja bergandingan dengannya.

Malah dia akui, bersyukur kerana peminat di Singapura tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya dan berharap dapat menubuhkan kelab peminat di sana.

Dalam pada itu, Safura memberitahu, demi kelangsungan kerjaya nyanyiannya, dia akan menghasilkan single dalam waktu terdekat.

"Untuk single itu saya bekerjasama dengan komposer Asfan Shah. Kali ini, saya akan buat sedikit kelainan daripada genre sedia ada.

"Bukan nak lari daripada irama pop tapi nak masukkan sikit elemen yang bersesuaian dengan usia. Saya mahukan irama balada dengan elemen irama Malaysia,” jelasnya yang mahu kembali aktif menyanyi dan berlakon selepas ini.

Safura merupakan isteri kepada pelakon Shahrolnizam Nor dan ibu kepada Nuraisyah Mariam (meninggal dunia); Yusoff Firdaus, 9; Zara Nuraisyah, 6; dan Ariana Sofea, 4, selain memiliki dua anak hasil dua perkahwinan terdahulu iaitu Nurul Natasha, 23, dan Mohd. Daniel Khaqim, 18.

Sakit bukan penghalang – Zarul

DALAM keadaan berkerusi roda, penyanyi Zarul Husin, 45, tetap memberi komitmen untuk menjayakan persembahan. Baginya, peluang bertemu dengan peminat tidak harus ditolak.

Zarul atau lebih popular dengan gelaran Zarul Umbrella itu mengalami kecederaan pada jari kelingking kaki kanannya akibat terjatuh sewaktu menjayakan babak lakonan menerusi drama baharunya, Cokelat Honey.

Katanya, doktor memberi tempoh tiga minggu lagi untuk dia kembali pulih selepas kemalangan pada 17 Oktober lalu.

“Doktor memang menasihati saya agar berehat secukupnya tetapi apakan daya, semua telah dipersetujui sebelum kemalangan.

“Sama juga dengan drama Cokelat Honey, saya perlu teruskan penggambaran kerana tidak mahu menyusahkan orang lain. Pengarah Hadith Omar sangat membantu apabila menukarkan beberapa pergerakan saya dalam drama itu misalnya, sepatutnya babak saya berjalan ke arah pelakon lain tetapi diubah jadi sebaliknya agar saya tidak perlu bergerak banyak,” katanya.

Biarpun kini keadaan retak pada jari kakinya itu semakin pulih, namun doktor tetap menasihatkannya supaya terus memakai kas untuk tempoh sebulan lagi.

Dalam pada itu, Zarul berkata, sejak menyertai GV3 dia sudah beberapa kali diundang menjayakan program di Singapura dan dia tidak akan menolak tawaran jika mendapat undangan di republik tersebut kerana tahu peminatnya di sana ramai.

“Alhamdulillah, sebenarnya sewaktu minggu kelima dalam GV3, orang Singapura sudah tempah saya untuk program bertemu peminat dan tak sangka jualan tiket laris.

"Sejak keluar dari GV, rasanya sudah dua kali saya mengadakan program bertemu peminat kerana kelab peminat saya, Zarulians di Singapura ini cukup kukuh. Boleh dikatakan ada sekitar 100 orang yang aktif dalam kelab ini.

"Bila saya ke Brunei pula, ada beberapa orang daripada ahli kelab peminat ini yang sanggup ikut saya ke negeri itu. Apatah lagi kalau di Kuala Lumpur, memang mereka akan datang memberi sokongan," katanya yang kerap bertandang ke Singapura menerima undangan mengadakan persembahan.

Justeru katanya, kalau ada tawaran berlakon untuk drama terbitan Singapura, dia tidak akan menolak kerana sokongan rakyat negara itu terhadapnya begitu utuh.

Sewaktu ditanya tentang perjalanan karier nyanyian, jelas Zarul, dia akan tampil dengan single baharu selepas Remuk yang bakal dijadikan lagu runut untuk drama Cokelat Honey pada tahun depan.

Farawahida kembali aktif

SEPERTI Safura, penyanyi Farawahida Razali, 33, mengakui, penyertaannya dalam program GV5 memberi impak besar kepada kerjaya seninya. Dia yang mesra dengan panggilan Fara berkata, biarpun tersingkir pada peringkat suku akhir, namun program itu membuatkan namanya kembali meniti pada bibir peminat seni tanah air dan Singapura.

Malah Farawahida begitu teruja memberitahu yang sambutan diterima daripada warga Singapura amat menggalakkan.

"Bayangkan ada seorang peminat remaja turut menghadiahkan saya barangan kosmetik berjenama.

“Masya-Allah terkejut dengan sambutan mereka. Saya nampak dia betul-betul ikhlas dan teruja untuk berjumpa saya.

"Perasaan begitu saya alami 10 tahun lalu, waktu lagu Tanpamu sedang top dan ketika menyertai Anugerah Juara Lagu.

“Selepas itu (kerjaya) tiada lagi gemerlapan. Orang mula lupakan saya. Kerana itu saya merasakan impak GV memang besar dan membuatkan khalayak mula ingat semula dengan saya," katanya yang terharu dengan penerimaan peminat di Singapura.

Bagi Fara, GV5 merupakan platform terbaik untuknya kembali aktif dalam bidang seni dan dia juga bercadang untuk menghasilkan single baharu sebagai kelangsungan kerjaya.

Dia yang mendapat sokongan penuh sewaktu mendendangkan lagu Rindu Merindu, nyanyian asal Fauziah Idris pada GV5 akui, sedang memikirkan untuk menjadikan irama Malaysia sebagai genre single baharu kelak.

“Nampak gayanya ramai yang suka saya menyanyikan lagu irama Malaysia. Mungkin saya akan ikut pilihan ramai kalau ada yang mahukan tapi mungkin saya pilih yang lebih kontemporari.

“Memang saya pernah menyanyi lagu etnik kreatif berjudul Persoalan Cinta pada Anugerah Juara Lagu edisi ke-23 pada 2008 tapi kali ini saya mahu irama Malaysia.

"Tak elok pula kalau saya menolak permintaan peminat," katanya yang menantikan lagu sesuai untuk dirakamkan.