Sebaliknya, pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem ASK 2015 menerusi filem Gila Baby itu mahu dirinya dipandang sebagai seorang aktor yang serius dalam usaha untuk mengukuhkan kewibawaannya dalam bidang lakonan.

Ketika ditemui usai majlis pelancaran siri KL Gangster Underworld (KLGU) yang mula disiarkan pada 16 Ogos lalu di platform digital iFlix, Beto menjadikan gaya lakonan Sidi Oraza dan Datuk Rahim Razali sebagai rujukan utamanya.

“Sepanjang bergelar pelakon sejak hampir 20 tahun lalu, saya menetapkan pendirian yang kukuh dalam menentukan perjalanan seni saya.

“Sebelum saya menerima tawaran berlakon, terlebih dahulu saya akan meneliti skrip dan jalan cerita sesebuah naskhah.

“Penelitian saya bukan sekadar membaca sekali lalu, bahkan saya akan cuba kaji sedalam-dalamnya untuk merungkai mesej yang tersirat di sebalik naskhah tersebut.

“Selepas membaca, mengkaji dan mendalami skrip yang diberikan, barulah saya buat pertimbangan sama ada untuk menerima tawaran ataupun menolaknya,” ujar Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman.

Pun begitu, menurut Beto, jika dirinya kurang berkenan dengan naskhah terbabit, dia tidak akan menolak bulat-bulat.

Namun jelasnya, dia cuba mencadangkan dan meyakinkan pengarah untuk membuat sedikit rombakan atau perubahan mengikut kehendak jiwa seninya.

“Jika pengarah setuju dan menerima cadangan yang diusulkan, barulah saya buat keputusan berdasarkan persetujuan yang dicapai,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang pembabitannya dalam KLGU terbitan Skop Productions, Beto bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berlakon dalam sebuah karya hebat sentuhan sutradara Faisal Ishak.

“Bakat pengarahan Faisal sebelum ini sudah dikenali ramai menerusi filem Juvana. Malah, dia adalah seorang pengarah yang amat saya segani dan menantikan peluang untuk berlakon bawah arahannya.

“Saya sifatkan, KLGU sebuah karya hebat yang pernah dihasilkan oleh Faisal. Bukan sahaja dari sudut pengarahan, bahkan barisan pelakon yang membintanginya,” ujar Beto.

Diminta mencarut, Zahiril takut penonton menyampah

Seorang lagi pendukung watak utama KLGU, Zahiril Adzim, 34, berdebar menantikan reaksi para penonton terhadap konsep pengarahan yang diterjemahkan menerusi siri tersebut.

Diminta untuk menggunakan kata-kata kasar dan kesat bagi menjayakan watak gengster yang dibawakannya, Zahiril pada mulanya berasa agak was-was.

“Ini kerana, dalam drama tempatan, jarang dilontarkan kata-kata kasar menerusi dialog percakapan pelakon, apatah lagi kata-kata kesat termasuk mencarut.

“Namun KLGU menampilkan sisi berbeza dalam bidang pengarahan drama Melayu tempatan dan saya anggap ini satu cabaran baharu buat diri sendiri.

“Mula-mula baca skrip, saya dah perasan terdapat banyak perkataan kesat berunsur carutan yang perlu saya tuturkan.

“Terkejut tetapi pada masa yang sama teruja kerana tidak pernah mendapat watak sebegini,” katanya berkongsi cerita.

Biarpun agak kekok ketika memulakan penggambaran KLGU, namun Zahiril dapat menanganinya setelah mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuk pengarah dan pelakon-pelakon lain.

Meskipun platform digital iFlix lebih terbuka, Zahiril memberi bayangan bahawa dialog perantaraan barisan pelakon KLGU masih ada batas-batas demi menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

“Lama juga saya tidak diberikan watak hitam seperti ini. Ada dalam 10 tahun agaknya selepas filem Kami The Movie.

“Dalam filem Juvana pun saya membawakan watak jahat tetapi peringkat pertengahan kerana masih remaja.

“Dalam filem ini, sebagai pendukung watak Adi, ia jauh berbeza.

“Kali ini lebih matang dan lebih ganas,” katanya memberi gambaran.

Selain Beto dan Zahiril, drama itu turut membariskan bintang handalan seperti Hasnul Rahmat, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ezzaty Abdullah, Azhan Rani, Dynas Mokhtar, Fezrul Khan, Amerul Affendi, Fikhree Bakar, Fadlan Hazim dan Daniella Sya. – IFQDAR RAHMAN