Membuat percaturan demi percaturan, Armada yang digelar juga sebagai Pasukan Armada oleh para peminat tegar mereka memilih 17 Mac ini sebagai tarikh keramat untuk mengadakan Konsert Era & Empire Live Armada Asal Kau Bahagia bertempat di KL Live @ Live Centre.

Langkah memperhebatkan promosi bagi menguar-uarkan konsert mereka, empat daripada lima anggota Armada iaitu Rizal, Mai, Radha dan Andit sanggup terbang dari Batam ke Jakarta, Indonesia  ke destinasi terakhir, Kuala Lumpur hari ini untuk sesi bertemu peminat, Meet & Greet di Quill City Mall di sini.

Usai sesi Meet & Greet bersama peminat, keempat-empat anggota Armada meluangkan masa untuk sesi temubual secara eksklusif dengan wartawan Utusan Online.

"Kami gembira dengan penerimaan peminat di Malaysia yang sama-sama menyokong karier muzik kami.

"Esok adalah hari pelancaran album terbaharu Armada yakni yang kelima selepas dua minggu dilancarkan di Indonesia," kata Mai, gitaris Armada.

Mai berkata, Armada sudah bersedia untuk beraksi di atas pentas bagi mengadakan sebuah persembahan berskala besar untuk para peminat di Malaysia dan mengharapkan peminat dari negara jiran yang lain sama-sama hadir menyaksikan konsert sulung mereka pada 17 Mac nanti.

Kata Mai lagi, persembahan pada 17 Mac nanti berdurasi dua jam setengah dan reportier lagu pastinya mesra di halwa telinga peminat.

Lagu wajib berjudul Asal Kau Bahagia ciptaan Mai, Radha dan Rizal (vokalis Armada) ujar Mai, pasti akan berkumandang di malam konsert.

Susunan lagu-lagu untuk persembahan juga akan meninggalkan kesan kepada para peminat yang hadir untuk menonton konsert Armada.

Tiket-tiket berharga RM109, RM126 dan RM194 sudah mula dijual secara dalam talian dengan melayari https://airasiaredtix.com/armada asal kau bahagia tour. - UTUSAN ONLINE