Mendendangkan lagu ciptaan Adi Priyo, berjudul Yang Terbaik, pemuda bertubuh genit berasal dari Selangor itu berjaya menewaskan lima finalis lain untuk membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Sementara itu, Heidi Vanessa, 24, yang memberi saingan sengit menerusi lagu Kata Hati nukilan AG Coco menduduki tangga kedua dan melayakkannya memenangi wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Tempat ketiga pula jatuh kepada Hafiz Zainal, 26, yang menyanyikan lagu Percaya Kasihmu gubahan Hang Nadim dan berhak menuntut wang tunai RM10,000 sebagai habuan berserta trofi.

Bukan itu sahaja, Hariz turut berjaya mengungguli kategori Vokal Terbaik, manakala Persembahan Terbaik menjadi milik Hafiz. 

Kedua-dua kategori itu memperuntukkan hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM5,000 untuk setiap pemenang.

Selain itu, tiga lagi finalis yang turut bertanding iaitu Yasser Sharifudin, Ferona Paimin dan Anna Abu Hanipah terpaksa berpuas hati menerima hadiah saguhati sebanyak RM1,000 setiap seorang berserta trofi.

Pertandingan akhir Bintang RTM 2018 disiarkan secara langsung di TV2,  pada pukul 8.30 malam tadi dan dihoskan oleh Misha Omar serta Aqasha.

Pemenang ditentukan berdasarkan penilaian juri profesional sepenuhnya yang terdiri daripada Adibah Noor, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Ramli MS dan diketuai Datuk Mokhzani Ismail. - UTUSAN ONLINE