Meskipun masih mentah dalam dunia lakonan dan banyak perkara perlu dipelajari, namun Zuhair tidak pernah berputus asa untuk berusaha memajukan diri.

Bermula dengan hanya memegang watak tambahan dan kini banyak menerima tawaran sebagai watak pembantu, Zuhair sentiasa melakukan yang terbaik dalam memastikan kerjayanya sebagai pelakon bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Mengakui pekerjaan yang dibawanya kini mempunyai cabaran tersendiri seperti mana kerjaya sebelumnya, dia kini perlu sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan kemahiran seni lakonannya bagi menjayakan setiap watak yang dibawanya.

“Dulu..., memang tak ada minat untuk menjadi pelakon. Tetapi disebabkan sering mengikut kawan menjadi pelakon tambahan dalam drama, lama-kelamaan rezeki dalam bidang lakonan semakin banyak diterima. Bermula dari itu, saya jadi minat.

“Sepanjang menjadi pelakon tambahan, saya tidak pernah mengikuti kelas lakonan. Apabila ditawarkan watak pembantu, barulah ada usaha menghadiri kelas lakonan di bawah tunjuk ajar Datuk Tarmimi (Datuk Ahmad Tarmimi Siregar).

“Kelas lakonan sangat penting supaya kita dapat mempelajari apakah yang dikatakan lakonan, cara penyampaian dialog, pergerakan tubuh dan pembawaan watak. Saya juga sering meminta tip daripada pelakon senior seperti Datuk Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza, Adlin Aman Ramlie dan Qhuzie Mohd Johari,” katanya kepada S2.

Selain itu, tambahnya, dia turut mempunyai cara lain untuk memastikan watak yang dibawanya disampaikan dengan berkesan.

“Apabila ditawarkan sesuatu watak dan menerima skrip, saya akan cuba mengenali watak itu terlebih dahulu sebelum membuat latihan di rumah. Selepas itu, saya akan cuba melakonkan watak yang dibawa dan merakamnya, supaya dapat melihat semula cara saya melakonkan watak itu.

“Melalui rakaman itu, saya akan meneliti sama ada sesuai atau tidak untuk dipraktikkan ketika penggambaran dan seterusnya disiarkan di kaca televisyen,” katanya.

Menurut pelakon drama Mr. Grey itu lagi, menjadi pelakon pembantu terutama membawa watak antagonis pada mulanya sangat mencabar, namun kini menjadi mudah kerana sering membawa watak yang sama.

“Saya sering diberi watak antagonis seorang lelaki yang ‘fake’, berpura-pura baik di hadapan orang tetapi di belakang sebenarnya seorang yang jahat. Disebabkan selalu pegang watak sebegitu, lama-kelamaan sudah sebati dan biasa. Tidak lagi menjadi satu cabaran bagi saya.

“Justeru kali ini, impian saya jika diberi peluang, saya ingin membawa watak utama seorang lelaki yang baik dan romantik. Bagi saya, watak romantik adalah watak yang mencabar. Kalau dahulu nak buat adegan romantik begitu mudah, namun kini banyak batas-batas lakonan yang perlu diambil kira terutama melibatkan isu sensitiviti masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, dia juga mempunyai keinginan untuk berlakon di bawah Skop Production Sdn. Bhd. dan penerbit dari Indonesia, Manoj Punjabi.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja di bawah beberapa produksi seperti A. Aida Production Sdn Bhd, Global Station Sdn. Bhd. dan Zeel Production Sdn. Bhd. Kali ini, saya nak cuba pula berlakon di bawah Skop Production.

“Selain itu, saya juga mempunyai impian untuk mengembangkan karier ke negara seberang dan berlakon di bawah produser popular Indonesia, Manoj Punjabi,” katanya.