Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bergaduh kerana populariti bukan cara Azira

Azira Shafinaz 2
Azira Shafinaz

BUKAN sekadar berbakat dan berwajah cantik, pakej lengkap yang dimiliki Azira Shafinaz Ramlan, 26, yang boleh menyanyi dan berlakon sekali gus menjadi pelaris utama buat anggota kumpulan DeFam ini untuk terus mara ke depan.

Lebih-lebih lagi selepas wajahnya kerap menghiasi kaca televisyen sejak kebelakangan ini, Azira menjadi buruan penerbit produksi dan stesen televisyen yang tidak henti-henti menawarkan pekerjaan buat dirinya.

Nyata kelebihan yang dimilikinya itu menjadi lubuk rezeki Azira yang mengakui tak menang tangan menyusun semula jadual seninya yang semakin terisi dengan pelbagai aktiviti hari demi hari.

Bahkan jika mengimbas perbandingan sejak menceburi bidang seni secara serius hampir dua tahun lalu, Azira mendapati laluannya dalam industri hiburan semakin mudah apabila kerap terikat dengan kerja.

Hinggakan pernah berlaku kejadian tidak menang tangan dek tawaran kerja yang tidak henti-henti tapi Azira tidak pernah mengeluh kerana itulah yang didambakan dalam kerjaya seninya selama ini.

Pun begitu dalam kesibukan mencipta nama, Azira berdepan dengan rasa kurang segelintir pihak yang merasakan dia sedang mencuri perhatian ramai berbanding dua lagi rakan DeFam, Sophiatul Liana Mohamed Sobri, 27, dan Nurshazwani Shamsuddin (Manggis), 28.

Sekali lagi, kelebihan yang ada pada diri Azira yang semakin kukuh dalam bidang nyanyian dan lakonan menjadi topik apabila dia dikatakan sedang mencuri perhatian ramai ini hingga menenggelamkan aura dua lagi rakan baiknya itu.

“Dakwaan itu langsung tidak berasas kerana sebelum ini, DeFam adalah keutamaan saya dalam banyak hal. Tidak pernah terfikir dalam fikiran saya untuk meminggirkan mereka dalam apa jua perkara.

“Waima sebelum menerima sebarang tawaran berlakon, saya meletakkan kerjaya nyanyian saya terlebih dulu dengan DeFam. Mudah kata, saya dahulukan kerja-kerja dengan DeFam barulah dunia lakonan saya.

“Itu juga adalah syarat yang saya letak dalam diri sendiri sewaktu kami bertiga duduk berbincang untuk sama-sama mengembangkan kerjaya seni mengikut minat masing-masing.

“Syarat itu juga dipersetujui bersama. Kami bertiga telah pun berjanji untuk tidak menyekat rezeki masing-masing pada masa yang sama memberi keutamaan kepada DeFam,” jelasnya.

Menafikan sekeras-kerasnya tentang soal lupa diri dek dilambung populariti hingga mengabaikan rakan-rakan yang lain, Azira juga menegaskan yang dia tidak mengejar glamor semata-mata untuk menyambung hayatnya dalam bidang seni.

Bertegas sekadar mahu berkongsi minat, Azira turut mengakui perlu lebih banyak belajar tentang ilmu dalam bidang lakonan yang dianggap masih terlalu baharu.

Tidak pernah menghalang Sophiatul dan Manggis untuk turut meneroka bidang yang diinginkan, begitu juga keadaannya yang berlaku dalam diri Azira. Sophiatul dilihat lebih terserlah dalam nyanyian rap manakala Manggis cenderung dalam seni tarian kontemporari.

“Kalau setakat berselisih faham dan bermasam muka sesama kita itu, standardlah. Mana ada dalam anggota sebuah kumpulan itu bahagia atau harmoni selama-lamanya.

“Kami bertiga memang selalu bergaduh tapi pergaduhan itu membabitkan kerja. Bukan soal remeh temeh membabitkan siapa anggota yang paling glamor, hebat dan popular.

“Pergaduhan itu lebih menjurus kepada kesepakatan untuk mendapatkan hasil kerja yang terbaik dan dijadikan penanda aras buat DeFam.

“Kenalah ingat bahawa semua ini adalah soal kerja. Jadi kalau nak kerja bagus, perhatian kenalah lebih fokus untuk mencari lebih banyak faktor wow,” kata Azira tanpa berselindung.

Kekasihku bukan artis

MENGUBAH topik peribadi, Azira mengakui dia bukan jenis hipokrit hingga terlalu menyembunyikan kisah hidupnya yang sebenar daripada pengetahuan masyarakat.

Sebaliknya si cantik ini tidak kisah untuk berkongsi apa saja yang berlaku dalam hidupnya kerana merasakan cara telus sebegitu memudahkan dia untuk berinteraksi dengan orang sekeliling.

Begitu juga dalam soal teman lelaki, Azira langsung tidak pernah menyembunyikan tentang gerangan kekasihnya itu malah turut membawanya bersama setiap kali terbabit dalam persembahan pentas.

“Cuma saya rasa tidak elok jika erlalu mendedahkan teman lelaki saya dalam industri hiburan kerana dia bukannya artis. Orang biasa-biasa saja.

“Cukuplah kalau semua orang tahu yang saya dah ada teman lelaki. Yang lebih-lebih itu tak payahlah nanti apa pula kata orang dalam hal ini.

“Mana yang penting perlu diumumkan berhubung hubungan cinta kami nanti, sudah pasti saya tidak lokek untuk berkongsi kepada peminat,” ujarnya.

Mengakui tidak merancang untuk menamatkan zaman bujangnya dalam tahun ini bagaimanapun Azira bersedia untuk memikirkan soal tersebut pada tahun depan.

Ini kerana sebagai wanita normal, Azira juga menginginkan sebuah perkahwinan yang dibina bersama suami tersayang dan menikmati keindahan kehidupan apabila bergelar ibu nanti.

“Apapun saya percaya Yang Maha Penyayang itu mempunyai perancangan yang lebih hebat dalam soal jodoh seseorang. Semua itu saya serahkan kepada-Nya,” katanya.

Urban tapi pemalu

SEBAGAI anak jati Kuala Lumpur, kehidupan Azira dilihat lebih moden dan pemikirannya sentiasa terbuka menilai apa juga situasi mendatang.

Bagaimanapun jauh dari lubuk hatinya, jiwa Azira sarat dengan sifat malu yang mendalam apatah lagi berhubungan dengan orang baharu dalam industri hiburan.

Itulah sifat semula jadi Azira yang tidak mudah terhakis kerana walaupun dalam arus kemodenan, dia tidak pernah melupakan batas sebagai wanita Melayu yang penuh dengan adab sopan.

“Pekerjaan sebagai penari itu memang mendedahkan seorang wanita itu untuk terdedah dengan pelbagai kata-kata negatif daripada orang ramai.

“Jika tarian itu terlalu mencolok mata, silap hari bulan dikata pula sengaja menggoda penonton waktu. Sebab itu tarian kami tidak pernah ada unsur eksotik atau lucah.

“Bahkan kami sengaja ‘membesarkan’ tarian diri kami dengan langkah-langkah tarian tertentu supaya lebih elok dan sedap mata memandang.

“Sebagai wanita, kami amat menjaga sensitiviti masyarakat sekeliling. Kami tidak melanggar arus sebaliknya akur dengan apa yang diinginkan masyarakat,” kata Azira yang turut mementingkan soal fesyen bersesuaian dalam tarian.

Berhubung soal kerjaya lakonan, Azira bersyukur apabila dicalonkan dalam kategori Aktres Pilihan menerusi drama Mr. Donut Karamel pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2017 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 9 April ini.

Tidak menaruh sebarang harapan yang tinggi untuk memenangi kategori tersebut bagaimanapun Azira berharap agar langkahnya dalam bidang lakonan diterima peminat hari ini.

“Harapan untuk memenangi kategori ini susah nak cakap sebab Siti Saleha turut merebut takhta yang sama dalam kategori yang sama menerusi drama 7 Hari Mencintaiku.

“Apapun soal rezeki ini sukar hendak dijangkakan. Yang penting kita semua dapat memberikan sokongan yang penuh kepada industri lakonan,” ujarnya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan