Watak seorang pelacur bernama Juwita yang ditawarkan menerusi drama bersiri popular, Nur 2, barangkali menjadi idaman kepada mana-mana pelakon wanita yang mahu menguji kemampuan mereka berkarya.

Bagi Nelydia, tidak mudah untuk dia menerima watak tersebut, seakan-akan ada halangan yang membuatkan dia terpaksa berfikir berkali-kali sehingga akhirnya memutuskan untuk menolak sahaja karakter itu dengan reda.

“Sejujurnya saya puji skrip yang bagus dalam siri drama Nur 2. Saya sempat membaca skrip tersebut sebelum ke Mekah dan saya memang mahu menjayakan watak pelacur itu.

“Namun apabila berada di sana, tiba-tiba hati saya rasa sangat berat untuk melakonkan watak tersebut. Setelah berbincang bersama keluarga, saya ambil keputusan untuk menolaknya.

“Saya segera meghubungi pengarahnya Ezad dan memberitahu yang saya tidak dapat melakukannya. Mujurlah dia faham dan saya hargai peluang yang diberikan.

“Sekali lagi saya tegaskan, watak Juwita tu bagus dan saya teringin melakonkannya. Tapi ia kurang bersesuaian dengan situasi saya yang baru sahaja pulang menunaikan umrah. Saya belum bersedia untuk membawa peranan sebagai pelacur,” kata Nelydia jujur.

Dalam masa yang sama, dia membuat keputusan tersebut kerana tidak mahu menyusahkan produksi drama yang barangkali terpaksa mengubah skrip yang bagus semata-mata menghormati dirinya yang baru sahaja pulang dari umrah.

“Tipulah kalau saya cakap tidak sedih apabila menolak watak itu tetapi saya harus terima itu bukan rezeki saya. Mana tahu, pelakon lain yang membawakan watak Juwita akan melonjak namanya selepas ini dan itu rezeki dia.”

“Karakter tersebut memang cukup bagus untuk menaikkan nama seseorang tetapi buat masa ini, saya masih belum bersedia melakonkan watak sebegitu. Cuma ia bukan untuk saya dan saya reda,” kata Nelydia yang pernah membintangi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Lafazkan Kalimah Cintamu, Cinta Tiada Ganti, Encik Suami Mat Salih Celup dan banyak lagi.