Kuala Lumpur 12 Mac 2018 - Sesi fotografi Pelakon Aliff Aziz.
 

Kontroversi itu berikutan Aliff Aziz, 27, mengaku curang kerana berdua-duaan dengan pelakon Nur Afifah Nasir di sebuah kelab karaoke di Cheras.

“Sejak kes itu saya memang fobia. Kini saya lebih senang habiskan masa menjaga anak daripada berkawan dengan orang luar yang akhirnya menyusahkan kita juga. Dulu saya seorang yang pendiam tetapi sejak berlakunya kontroversi tersebut, ia mengajar saya menjadi lebih tegas dan berani berbanding sebelum ini.

“Kini saya lebih senang buat hal sendiri. Saya jadi begini bukan sebab sombong tetapi kena lebih berhati-hati memilih kawan kerana dunia hiburan ini cabarannya begitu kuat sekali. Jika kita tidak kuat, kita boleh hanyut dibuatnya,” kata anak kelahiran Sandakan, Sabah ini.

Bella Astillah, anak sulung daripada lima adik-beradik ini mengakui sejak kejadian itu hubungan mereka suami isteri semakin rapat dan bertambah erat lagi.

"Banyak yang kami pelajari dan cuba memperbaiki dalam membina rumah tangga bahagia. Saya juga bersyukur kerana rezeki suami tidak pernah putus-putus hingga hari ini. Kini dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Halalkan Hati Yang Ku Curi dan selepas ini sibuk di lokasi My Dear Chef sebanyak 20 episod pula bermula 26 April nanti.”

Walaupun namanya sedang menempa naik, namun Bella Astillah atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah tidak pernah risau atau kecewa kehilangan peminat kerana kesibukannya menguruskan kerjaya suaminya,

“Sebenarnya dia lebih selesa saya berada di sisi bagi menguruskan jadual hariannya daripada kami berjauhan kerana saya berlakon. Sebagai isteri saya kena patuh dengan kata-kata suami. Itu sebabnya dia kurang selesa jika saya berlakon lagi. Saya pun tak ada masalah hendak menjaganya kerana sejak bertunang lagi saya sudah bertindak menguruskan jadual lakonannya sebelum ini," katanya.

Aliff juga nampaknya lebih senang keluarga sendiri yang membuat urusan jadualnya berbanding orang lain. Kalau Bella sibuk, adiknya yang bernama Erica yang akan membantu menjaganya. "Sudah dua tahun Erica menjaganya. Bukan saya tak percaya orang luar. Tapi sudah banyak saya tengok dan dengar, perkara ini terjadi kepada rakan-rakan artis yang lain. Orang luar ini lebih banyak mengata di belakang seseorang itu berbanding keluarga sendiri. Keluarga sendiri tidak akan membuka aib atau pekung di dada keluarganya.

“Erica juga minat berlakon. Itu sebabnya saya suruh dia mengikut abang iparnya bagi memudahkan dia mengenali dunia lakonan ini sebenar-benarnya. Pengalaman ini nanti boleh dia gunakan di masa-masa akan datang nanti” kata Bella lagi.

Hasil perkahwinan mereka pada 9 September 2016, kini Aliff Aziz dan Bella bahagia dengan kehadiran cahaya mata mereka, Mohamad Ayden Adrean sembilan bulan dan merupakan cucu pertama buat keluarga Bella dan Aliff.

Menurut Bella, dia lebih selesa sekiranya anak lelakinya itu membesar di bawah jagaannya sendiri.

“Kalau boleh saya tidak mahu Ayden dijaga oleh orang lain sebab saya rasa dia masih memerlukan emak dan ayah di sisi. Mungkin bila Aydean dah besar dan boleh panggil ‘mummy’ dan ‘daddy’ barulah saya sedia lepaskan dia untuk dijaga orang lain selain ahli keluarga saya,Sekarang ini, kalau saya sibuk, ibu saya yang akan tolong menjaga anak kami,” tambahnya.