ANTARA bukti yang mengaitkan nama Fizz sempat dimuat naik oleh
ANTARA bukti yang mengaitkan nama Fizz sempat dimuat naik oleh 

Terdahulu kecoh apabila ada lelaki bergelar Datuk Seri yang ditangkap khalwat di Pulau Perhentian, Terengganu. Tidak semena-mena nama suami kepada Almy Nadia ini pula yang dijaja sebagai individu tersebut.

Perkara tersebut pula disebarkan melalui Instagram (IG) milik individu tidak diketahui pemilik. Merasakan perkara tersebut keterlaluan, Fizz mengambil keputusan untuk mengheret pelaku ke muka pengadilan.

Kepada Pancaindera, pelakon filem Munafik ini memberikan penjelasan.

Apa cerita sebenarnya? Macam mana pihak berkenaan boleh ‘main petik’ sahaja nama Fizz?

FIZZ: Itu yang membuatkan saya bengang. Kalau mereka nak bercerita pasal gosip-gosip manja tu tak mengapa lagi tapi sampai menuduh saya ditangkap khalwat, ini memang melampau. Alang-alang nama pun sudah terpalit, biarlah kita heret individu tersebut ke muka pengadilan. Mungkin itu pengajaran paling berguna buat mereka.

Macam mana pula nama Fizz boleh dikaitkan? Orang selalu cakap kalau tak ada angin, macam mana pokok boleh bergoyang. Komen?

FIZZ: Nak komen macam mana, saya sendiri pun tak tahu macam mana kisah tersebut bermula. Memang betul ketika berita Datuk Seri tu ditangkap, saya ada di Terengganu menjalani penggambaran drama. Tapi saya tak jejak pun kaki ke Pulau Perhentian. Tak ada kerja pula nak ke sana.

Habis apa tindakan seterusnya? Adakah tindakan saman benda yang betul untuk dilakukan?

FIZZ: Tak boleh nak bagi muka lagi kepada mereka yang sewenang-wenangnya menabur fitnah sesuka hati. Ada segelintir pihak percaya saya orang yang ditangkap khalwat. Bukan semua orang mencari kebenaran. Sebab itu saya tak boleh lagi nak berlembut dan membiarkan sahaja. Sekarang pihak peguam sedang mengumpulkan maklumat berkaitan dengan individu tersebut. Walaupun akaun IG itu sudah dinyah aktifkan, kita masih boleh mencari maklumat.

Tak ada jalan lain selain daripada naik mahkamah?

FIZZ: Kalau dia rasa sudah buat salah, boleh sahaja datang dan berbincang cara bagaimana yang patut dilakukan untuk menjernihkan keadaan. Kalau dia datang dengan penyesalan, ada jalan lain yang boleh diambil. Sekiranya terus mendiamkan diri, buat apa nak tunggu lagi. Biar mahkamah sahaja tentukan. Lagi satu saya mahu heret peminat yang menjadi ‘nasi tambah’ kepada hantaran tersebut. Mereka inilah yang menjadi batu api dan mengeruhkan lagi keadaan. Komen mereka seolah-olah sangat mengenali saya dan berada di tempat kejadian. Eloklah diberi pengajaran sekali.

Apa nasihat Fizz kepada peminat dan pengguna laman sosial. Kalau dilihat sudah ramai artis yang menjadi mangsa mereka sejak akhir-akhir ini.

FIZZ: Betul, perkara ini tak boleh dibiarkan begitu sahaja. Jangan ingat mereka yang menggunakan media sosial sendiri, boleh buat sesuka hati. Kadangkala ibu bapa pun kena pantau anak-anak mereka. Ada ketika yang komen melampau ini terdiri daripada remaja belasan tahun. Masih bersekolah tetapi menulis macam mereka tiada pedoman. Kalau kena saman kan dan menyusahkan keluarga. Kita tak mahu perkara macam ni berlaku, jadi sama-sama ingat mengingati.