Dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos ini di KL Live, sebanyak 700 keping tiket Ruffedge: 20th Anniversary Concert telah dibeli oleh peminat-peminat kumpulan tersebut sejak pembelian dalam talian mula dibuka bermula pukul 12 tengah malam tadi.

“10 tahun menyepi sejak penubuhan mereka pada 1997, penyatuan semula ahli kumpulan tersebut selepas 20 tahun adalah bertepatan dengan waktunya dan sambutan yang diberikan peminat mereka amat memberangsangkan,” menurut kenyataan MRS Production.

Konsert berkenaan turut mendapat kerjasama KLP Creative Sdn. Bhd., dan tiket berharga antara RM125 hingga RM233 sudah boleh dibeli dengan melayari www.ticketpro.com.my.

Ruffedge dianggotai oleh lima ahli iaitu Cat Farish, Sein, Azan, Mode dan Zain Hamid dijangka bakal mengubat kerinduan pengikut setia mereka menerusi seleksi lagu popular seperti Bila Rindu, Khayalan, Tipah Tertipu, Lemas, Tiada Lagi Cinta dan Da’ Bomb. – UTUSAN ONLINE