Seperti tahun-tahun sebelum ini, penyanyi yang hit dengan lagu Donde itu pulang lebih awal ke kampung halaman di Kota Kinabalu bagi meraikan Syawal bersama-sama keluarga tercinta.

Namun, kali ini dia terpaksa mengalihkan tumpuan kepada kerjaya sementelah hanya terbang pulang ke pangkuan keluarga pada pagi Syawal pertama.

 

“Ini kali ketiga raya sebagai artis, tetapi saya hanya betul-betul dapat rasa suasana itu pada tahun ini sebab apabila pergi ke mana-mana, orang pandang dan mahu ambil gambar,” katanya.

“Sampai satu tahap saya rasa: Oh...begini perasaannya bila raya sebagai selebriti,” kata Andi jujur.

Menikmati percutian raya di kampung halaman dalam suasana lebih meriah selama lima hari, kini dia sudah kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan segala perancangan dalam kerjayanya.

Apa yang penting, menyambut Syawal bersama keluarga meskipun agak terlewat sehari, digunakan sepenuhnya dengan mengunjungi sanak saudara selain menerima kehadiran tetamu di rumahnya.

“Sepanjang di kampung, saya tidak lupa menyediakan duit raya untuk keluarga. Rezeki yang ada harus dikongsi bersama mereka,” kata Andi yang turut menyediakan segala keperluan keluarganya lebih awal pada Ramadan lalu.

“Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menggembirakan hati keluarga dan niat untuk beri senyuman kepada mereka berbayar dengan apa yang saya lakukan buat mereka,” luahnya penuh syukur.

Sementara itu, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile turut mengulas mengenai perancangannya untuk menghasilkan lebih banyak lagu berentak pelbagai.

Tidak mahu terus mengeluarkan lagu berunsur reggaeton seperti single Donde yang berjaya melonjakkan namanya, penyanyi berusia 28 tahun itu bersedia untuk keluar dari zon selesa.

“Alhamdulillah, percubaan untuk bawa lagu reggaeton menampakkan hasil dan diterima orang. Walaupun saya sudah dapat rentak selesa tetapi itu bukan bermakna ada ruang untuk saya bersenang-lenang.

“Masih banyak lagi genre yang belum saya cuba antaranya pop dan balada, insya-Allah saya akan cuba selitkan nanti.

“Saya tak nak ikut cara orang, saya mahu cipta identiti sendiri dengan stail moden sedikit. Apa-apa pun tunggu sahajalah nanti perancangan untuk single terbaharu akan datang,” tuturnya.