Ana atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali memberitahu, dia dan suami, Ahmad Aznaim Abdullah dijangka menimang cahaya mata kedua ketika umat Islam meraikan kehadiran Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.

“Ikutkan, saya akan melahirkan anak ini pada 29 Jun depan dan berdoa sangat-sangat agar bayi ini tidak keluar terlalu awal seperti abangnya, tiga tahun lalu.

“Dulu, abangnya lahir seminggu lebih awal dari tarikh yang dijadualkan menyebabkan saya dan suami agak kelam-kabut,” katanya yang dikurniakan putera sulung, Aaydeen Oumar pada 12 Februari 2015.

Bernikah pada 25 Februari 2012, Ana akan menjalani proses berpantang selepas melahirkan bayi di kampung halamannya di Pasir Putih, Kelantan.

Justeru, menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini, pasangan tersebut terpaksa memberi tumpuan terhadap persiapan menyambut bayi kedua mereka yang dikhabar seorang puteri.

“Jika benar bayi perempuan, dapat dah kedua-dua jantina. Dapat sepasang pun jadilah. Lepas ini, kita tak tahu Allah kurniakan zuriat lagi ataupun tak. Alhamdulillah.

“Jadi, sambutan raya tahun ini ala kadar sahaja sebab wang banyak dibelanjakan untuk beli keperluan dan kelengkapan bayi,” jelasnya yang kini bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah. - UTUSAN ONLINE