Bagi Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, dia sangat menghargai jasa peminatnya yang begitu menghargai hasil seni selama lebih 30 tahun dia bergiat sebagai penyanyi.

Katanya, setiap kali dia membuat persembahan dalam mana-mana majlis termasuk sempena Minggu Setiausaha, lagu Janji Manismu seolah-olah menjadi lagu wajib untuk dipersembahkan.

“Memang `berhantu’ lagu Janji Manismu ini sehinggakan kalau saya buat persembahan tapi tak nyanyi lagu tu, pasti akan ada nota kecil daripada penganjur yang mahu saya menyanyi lagu itu juga. Bila fikir, kelakar juga. Jadi sebelum nota kecil sampai di tangan saya, awal-awal lagi saya akan masukkan lagu itu dalam senarai.

“Bukan apa, saya sendiri entah berapa kali nyanyi lagu Janji Manismu sampaikan diri sendiri pernah rasa bosan untuk menyanyikan lagu itu.

“Ada juga terfikir untuk menyanyikan lagu-lagu yang jarang diperdengarkan kepada umum tetapi risau kalau ada di kalangan penonton tu bukan peminat tegar. Mereka tak akan tahu lagu-lagu lain kecuali seperti lagu hits Janji Manismu,” ujar penyanyi berusia 54 tahun ini.

Bagi Aishah yang mempunyai 12 album sepanjang karier seninya, dia juga mempunyai hasrat mahu menyanyikan lagu-lagu lain yang pada pandangannya sedap untuk didengar pada majlis-majlis yang disertainya.

Tidak mahu kekal dengan lagu yang sama sahaja, Aishah sebenarnya menyukai lagu Kasih Kita dan Hening.

“Ada sesetengah lagu peminat memang suka tetapi tidak djadikan single. Pernah juga kadang-kadang saya terlupa adanya lagu-lagu lain sehingga peminat minta saya nyanyikan.

“Punyalah banyak lagu kan! Sewaktu dengan syarikat rakaman, ada lagu-lagu yang jarang saya nyanyikan tapi pada pandangan saya, sedap untuk dibawakan secara live, antaranya lagu Kasih Kita.

“Saya ada lebih dari 100 lagu kerana sudah mengeluarkan 12 album. Lagu kegemaran saya yang tak pernah nyanyi secara live ialah Hening di dalam album Tiada Duka,” jelas Aishah yang pernah tampil dengan dua album Inggeris bersama kumpulan The Fan Club menerusi Sensation (1988) dan Respect The Beat (1989) ketika berada di New Zealand.

Peminat mahu versi asli

Ingin mencuba sesuatu yang baru, Aishah pernah menyanyikan lagu Janji Manismu dengan susunan muzik berbeza seperti versi dangdut. Namun ujar Aishah, peminat tidak menyukai dan tetap mahukan susunan lagu yang asal.

“Iyalah kita sebagai penyanyi, nak juga mencuba sesuatu yang berbeza kan. Mahu berikan nafas berbeza untuk lagu, jadi saya nyanyilah Janji Manismu versi dangdut tapi peminat pula tak suka. Mereka marah-marah,

“Jadi mereka minta saya nyanyi semula dengan susunan asal. Kata mereka, kenapa saya rosakkan kenangan zaman mereka ketika menghayati lagu itu.

“Mereka marah jika susunan asal lagu Janji Manismu ‘diusik’. Jadi terpaksalah saya terus mengalunkan lagu ini melainkan saya kurang sihat, saya akan beritahu penganjur yang saya tidak mampu nyanyikan lagu tersebut,” katanya.

Sementara itu, Aishah dipilih penganjur Mareepoosa Creative & Event untuk persembahan Spectacular Secretaries Week Luncheon 2019 bersama Nora pada 25 April di Hotel Palace of Golden Horses nanti.

Menurut juara Gegar Vaganza (GV) musim keempat ini, dia sangat berbesar hati dapat digandingkan dengan Nora yang disifatkan sangat berbakat besar.

Ujarnya, gandingan tersebut adalah yang pertama baginya walaupun sebelum ini pernah membuat persembahan pada tempat yang sama.

“Saya dan Nora pernah nyanyikan lagu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan Johan Nawawi. Mungkin idea yang bagus untuk buat tribute dalam persembahan Minggu Setiausaha itu nanti. Itu perlu perbincangan bersama dengan Nora.

“Kali terakhir saya buat Minggu Setiausaha ialah tahun lepas iaitu selepas GV. Apabila sudah biasa membuat persembahan dalam segmen ini, ia satu cabaran bagi saya kerana perlu menampilkan kelainan. Apatah lagi saya sudah menyanyi selama 30 tahun, perlu ada sesuatu yang lain.

“Mana-mana artis pun akan terfikir apa yang harus dibuat untuk setiap persembahan. Saya mahu buat sesuatu yang berbeza biar berbaloi untuk orang yang selalu tengok persembahan saya. Mungkin untuk kali ini, saya lebih kepada berinteraksi dengan penonton secara lebih mesra.

“Misalnya saya nyanyi dan minta penonton tulis lirik lagu yang mereka ingat kerana Minggu Setiausaha tidak semuanya adalah peminat yang tahu lagu-lagu saya. Jadi mungkin mereka hanya tahu lagu yang hits seperti Janji Manismu.

“Saya perlu buat sedikit kajian bagaimana peranan setiausaha pada masa sekarang ini kerana keadaan bukan sama seperti dahulu. Saya tidak mahu nyanyi syok sendiri dan penonton pulang dengan perasaan kecewa,” kata Aishah.

Single terbaharu

Tidak mahu berada di takuk lama, penyanyi yang banyak memenangi pelbagai anugerah dalam dunia muzik ini mengakui bakal muncul dengan single terbaru yang berjudul Oh Dunia Ini Penuh Kepalsuan (ODIPK).

Ujar Aishah, dia tidak mahu peminat mengingatinya hanya dengan lagu popular Janji Manismu.

“Saya mahu ada perubahan dalam karier seni ini. Tak naklah bila orang tanya apa perkembangan terbaharu saya, saya tiada cerita. Sekurang-kurangnya saya boleh memberitahu tentang single lain selain bercerita tentang lagu-lagu lama.

“Cuma apabila menyentuh tentang lirik, biarlah kena dengan saya yang sudah memasuki usia senja ni. Lirik lagu pasal putus cinta ni rasanya dah tak sesuai dengan diri saya. Sebaiknya biar lagu tu kena dengan penyanyi dan memberikan kesan kepada pendengar.

“Jadi adanya lagu baharu bukan semata-mata untuk kekal dalam bidang seni atau kepuasan diri sendiri. Sekarang ni berbeza kerana lagu baharu perlu ada agar peminat sentiasa berminat dengan kita. Saya mahu profil diri kekal aktif. Takkanlah saya nak nyanyi lagu itu sahaja ke sana ke mari,” katanya.

Apabila ditanya adakah lagu ODIPK menyindir mana-mana pihak, dia menjelaskan lagu ini menceritakan tentang keadaan sekarang yang banyak menceritakan kehidupan manusia.

“Saya mengambil inspirasi judul lagu terbaharu daripada rangkap pertama lagu popular, Janji Manismu. Saya tak sindir sesiapa. Saya juga muncul dengan judul lagu yang panjang kerana ingin mengimbau judul lagu-lagu lama yang pernah diterbitkan dulu.

“Jika kita imbas semula, di zaman 80-an dan 90-an, kebanyakan lagu diberi judul yang panjang. Jadi, apa salahnya jika saya mahu mengembalikan memori terbabit dalam penciptaan lagu terbaharu saya. Lagu ni hanya menceritakan apa yang saya belajar dunia seni pada masa sekarang,” ujar ujarnya. Aishah.