Berkata kepada Utusan Online, gara-gara bagasinya yang hilang ketika tiba di sana, Syamel masih bersyukur kerana beg yang menyimpan seluar dalamnya ada bersama.

“Nasib baik seluar dalam saya letak dalam beg galas yang sentiasa bersama saya. Itu paling penting. Sekurang-kurangnya pakaian dalam boleh ditukar.

“Terdapat juga beberapa barangan penting yang terdapat di dalam beg galas. Cuma beg pakaian sahaja yang tidak ditemukan. Terpaksa pula membeli beberapa helai pakaian baharu untuk dipakai,” katanya.

Walaupun berhadapan dengan pengalaman pahit tersebut, Syamel bagaimanapun bersikap positif dengan menganggap hal itu sebagai satu cabaran dan memori untuk dikenang tatkala merantau di negara orang.

Katanya, perkara itu juga mengajarnya agar lebih berhati-hati dan sediakan payung sebelum hujan.

“Lepas ini saya akan pastikan ada beberapa pakaian penting diasingkan dalam beg lain. Apabila ditimpa pengalaman serupa, sekurang-kurangnya ada baju gantian,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, Syamel turut menceritakan dia telah digoda oleh seorang wanita yang merupakan kru produksi festival berkenaan.

Menurut Syamel, wanita tersebut menawarkan diri untuk mengikutnya pulang ke hotel penginapan.

“Itu memang mengejutkan kerana wanita itu dengan selamba berbuat demikian tetapi saya menolak tawarannya secara baik.

“Lagipun niat saya ke sana untuk mengembangkan karier seni, bukannya nak buat perkara bukan-bukan atau ingin menimbulkan sebarang masalah,” tuturnya jujur.

Mengulas tentang pemergiannya ke festival itu, Syamel akui banyak pengalaman yang ditimbanya selain dapat berkenalan dengan pengkarya-pengkarya luar negara.

Diharapkannya, platform tersebut menjadi titik mula untuk naib juara Akademi Fantasia 2015 itu melakar nama di peringkat antarabangsa kelak.- UTUSAN ONLINE