Oleh itu, setiap pelakon wanita yang bekerjasama dengannya pasti menerima tempias. Ditambah gimik dilakukan pihak produksi untuk melariskan drama itu, setiap projek yang membabitkan Zul pasti gempak.

Azira tidak terkecuali. Belum lagi drama Seribu Rindu ditayangkan, sudah banyak pelbagai versi kedengaran. Semua itu terjadi seiring dengan gimik promosi drama gandingan tersebut.

Nama besar Zul mengheret Azira menerima pelbagai tempias yang datang daripada peminat. Sekaligus menjadikan anggota kumpulan De Fam ini menjadi hangat dan terus diperkatakan.

“Paling saya bimbang jika ada babak kemesraan antara kami itu mencetuskan rasa kurang senang segelintir pihak. Sebab dalam drama itu kami menjadi pasangan kekasih.

“Mana tau ada yang sakit mata melihat babak-babak tertentu. Maklumlah orang kita ini mudah demam drama. Beremosi setiap kali menonton televisyen,” kata Azira, 27, melontarkan pandangan peribadi.

Sejak klip video promosi drama itu disebarkan beberapa bulan lalu, banyak pihak melemparkan komen yang pelbagai. Rata-ratanya memperkatakan tentang kemesraan gandingan julung kalinya kedua-dua pelakon ini.

Ada pihak meramalkan Azira akan semakin menyinar selepas gandingan tersebut. Ini kerana rata-rata heroin yang digandingkan bersama Zul sebelum ini pasti menerima tempias populariti.

“Sukar nak jangkakan tanggapan orang terhadap saya. Tentang soal tumpang populariti dia atau apa saja faktor luar, saya reda. Saya cuma pemain yang mahu watak diberikan itu berjaya.

“Orang suka atau tidak selepas ini, terpulang kepada pilihan mereka yang mana satu. Saya profesional dalam bab kerja,” ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini.

Drama Seribu Rindu bakal ditayangkan pada 12 November ini. Selain Azira dan Zul, drama itu turut dilakonkan bersama Fadlan Hazim, Mona Allen dan Harris Baba.