Antara artis yang akan turut bersama-sama melakukan aktiviti larian yang julung kali dianjurkan oleh Jakel itu ialah Ayda Jebat, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Hanis Zalikha, Hairul Azreen dan Aaron Aziz.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Faroz Mohamed Jakel berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan untuk mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa pelarian Rohingya di Myanmar.

“Kita dapat jangkan dengan kehadiran barisan artis terkenal bakal memberi impak besar terutama sekali kepada penyertaan dari orang ramai.

“Program ini adalah sesuatu yang bagus iaitu sambil melakukan aktiviti sihat, kita turut melakukan kerja amal dengan membantu mangsa Rohingya.

“Mereka (artis) akan bersama-sama dengan peserta dan berpeluang mewujudkan silaturahim antara satu sama lain ketika acara tersebut berlangsung,” ulasnya dalam sidang media yang diadakan di Jakel Mall disini hari ini.

Terdapat dua kategori Jakel Charity Run For Rohingya iaitu 10 kilometer (km) dan dibahagikan kepada Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita manakala kategori 5 km berkonsepkan ‘Fun Run’ dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Para peserta yang ingin menyertai penganjuran ini boleh membuat pendaftaran secara atas talian di www.racexasia.com sehingga tarikh tutup 3 Disember depan. Pada masa yang sama Jakel turut membuka kaunter pendaftaran di hadapan pintu masuk Jakel Mall. Bayaran bagi setiap penyertaan ialah RM45 dan RM50 seorang. - UTUSAN ONLINE