Menerusi acara yang dinamakan Konsert Evolusi PJ yang akan berlangsung pada 10 November ini, peminat akan dapat menyaksikan persembahan kumpulan XPDC, Akim & The Majistret, Waris, Ara Johari, Masya Mashitah, Santesh, Ben Laden, Ismail Izzani, Uchop, Aina Mentor dan Maynine Band.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain, pemilihan barisan artis ini bertepatan dengan populariti yang diraih selain masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Semua mereka dikenali peminat. Mengambil contoh XPDC yang dianggotai oleh Ali (penyanyi), Izo (gitar), Eddie (bes), Lola (dram) dan Arif baru sahaja melancarkan album terkini berjudul Doa.

“Sudah tentu peminat setia kumpulan ‘heavy metal’ nombor satu negara ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan daripada mereka.

“Tidak terkecuali Akim & The Majistret serta artis lain yang ditampilkan juga masing-masing mempunyai daya penarik tersendiri dan pasti ditunggu ramai,” katanya.

Jelas Mohd. Azizi lagi, penampilan Santesh yang kini meledak dengan lagu Amalina juga menjadi tarikan buat peminat untuk hadir ke konsert yang akan bermula pada pukul 8.30 malam.

“Ia adalah peluang keemasan buat warga Petaling Jaya untuk meluangkan masa menonton bersama keluarga. Tambah lagi konsert ini diadakan secara percuma di lokasi yang dikelilingi pelbagai kemudahan seperti pengangkutan yang efisien sekali gus membolehkan pengunjung hadir tanpa masalah,” katanya.

Tambah Mohd. Azizi, PJ Fair bertujuan mempromosikan bandaraya Petaling Jaya sebagai kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa menerusi kepelbagaian budaya komunitinya.

“Program kami bertemakan Festival Kesenian Budaya Antarabangsa yang bermatlamat mempromosikan keharmonian budaya dan kesenian masyarakat setempat dan antarabangsa.

“Kami memilih menggunakan tema yang sama pada tahun 2014 kerana mahu mengembalikan kemeriahan budaya seperti yang diadakan ketika itu dengan penyertaan pelbagai budaya luar termasuklah Indonesia, Thailand, Jepun. Iran, Korea Selatan, Filipina, Finland, Afrika Selatan selain Malaysia sendiri,” katanya.

“Tidak dilupakan, objektif Karnival Petaling Jaya ini juga mahu menyatukan masyarakat majmuk di negara kita. Kami mahu menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama mewarnai program yang sememangnya meriah ini.

“Salah satu strategi terbaik menghimpunkan mereka ialah dengan menganjurkan konsert membabitkan artis popular dan inilah yang kami lakukan,” ujarnya.

Mohd. Azizi berkata, selain Konsert Evolusi PJ pada 10 November yang menjadi kemuncak acara, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan etnik sembilan negara yang terbabit.

“Antara aktiviti lain yang akan diadakan sepanjang PJ Fair kelak ialah persembahan kebudayaan, pelbagai pertandingan termasuk memancing, larian dan pelbagai lagi,” katanya.

Stesen radio Selangor FM pula dipilih sebagai penyiar rasmi festival ini. - UTUSAN ONLINE