Di Malaysia, ramai pelakon tempatan mengorak langkah untuk menjadi seorang penyanyi. Ada yang menjadi, ada juga yang ‘sendu’ atau suam-suam kuku.

Bagi dramatis Arja Lee atau Azharudin Ramli, 35, dia masih belum berputus asa biarpun namanya masih belum dikenali sebagai penyanyi walau hampir dua tahun dia mencuba dalam bidang muzik.

 

Akur dengan kecaman dan kata-kata negatif yang dilemparkan oleh sesetengah pihak terhadapnya, Arja menganggap itu penguat semangat untuk dia terus berusaha.

“Tak salah untuk terus mencuba, saya tak akan pernah rasa jemu, takut atau cepat mengaku kalah. Saya tidak akan berputus asa dalam mengejar cita-cita bergelar penyanyi.

“Untuk saya patah semangat memang tak akan berlaku, apa yang saya ada sekarang adalah apa yang saya usahakan dengan sokongan keluarga, rakan-rakan dan peminat,” jelas Arja.

Menerima kecaman yang memintanya supaya berhenti menyanyi, jelas Arja, dia sedikitpun tidak terkesan dengan perkara itu.

“Walaupun orang kata ‘dulu buat single tak laku tapi kenapa nak menyanyi lagi’? Biar! Saya tak peduli. Biarkan sahaja mereka bercakap. Saya tak akan berhenti menjadi penyanyi.

“Mungkin single yang lepas ada beberapa kekurangan, jadi kali ini saya cuba yang baharu, baiki kelemahan dan cuba beri yang lebih baik.

“Bagi saya orang luar tak akan berhenti bercakap, memberi komen dan kritikan. Itu hak mereka, lagipun saya suka mereka bercakap daripada mereka diam dan tak tahu apa yang sedang kita lakukan.

“Melihat pada dunia hari ini, saya percaya kata-kata begini akan membantu lagu saya menjadi viral. Saya tidak ada masalah,” kata Arja.

Duet bersama Rendy Faliq

.
 

Terbaharu Arja bakal muncul dengan single berjudul Berpulang duet bersama Rendy Faliq tidak lama lagi.

“Selama saya diam itu tidak bermakna saya sudah mengalah untuk menyanyi lagi. Tapi saya kumpul ilmu dan pengalaman untuk muncul dengan sesuatu yang baharu.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun akhirnya saya bakal kembali dengan single baharu tidak lama lagi. Saya harap kemunculan lagu Berpulang akan memberikan nafas baharu untuk karier nyanyian saya.

“Lagu ciptaan sepenuhnya Rendy Faliq ini mengisahkan tentang betapa seseorang itu berasa kehilangan. Berpulang membawa maksud kepergian atau Ke Rahmatullah yang dipetik dari kamus Indonesia.

“Harapan saya agar lagu ini dapat diterima oleh semua golongan pendengar muzik tanah air tak kira usia. Nantikan ya!” cerita Arja yang sebelum ini sudah mempunyai tiga single iaitu Cerita Pada Mereka (2014), Bintang Malam (2015) dan Budak Nakal (2017).

Selain bakal muncul dengan single Berpu–lang, lakonan Arja juga dapat disaksikan dalam drama bersiri Syurga Ku Tak Sempurna musim kedua (Unifi TV) dan teater P.Ramlee The Musical di Ipoh tidak lama lagi.