Figuranya tidak hanya mekar mewangi dalam negara, tetapi sepotong nama ini juga mengharum segar di negara luar.

Walau usianya sudah melepasi separuh abad, namun pengabdian Sheila atau nama penuhnya Shahiela Abdul Majid, terhadap dunia seni suara tidak pernah terhenti.

SHEILA MAJID

Pun begitu, penyanyi lagu Gemilang ni pernah terdetik untuk bersara, cuma saat untuk melepaskan ‘mikrofon’ belum ada waktu yang benar-benar diputuskan lagi.

“Buat masa ini saya tidak fokus ke arah itu (bersara) lagi. Tapi, kalau satu hari nanti saya akan berhenti daripada menyanyi, pentas nyanyian bukan menjadi tempat saya lagi.

“Maksudnya, peminat tidak akan melihat saya menyanyi di mana-mana lagi. Itu prinsip saya andai Tuhan menggerakkan hati ini untuk terus melupakan bidang cari makan selama ini,” ungkapnya memulai bicara.

Tambah penyanyi berusia 54 tahun itu lagi, beliau juga bercadang menukar imejnya setelah tidak lagi bergelar anak seni.

Bukan mahu terus melupakan sehingga mengubah segala yang ada, namun katanya, apabila sudah tanamkan hasrat tersebut, pasti akan dikotakan.

“Bila muktamad sahaja saya kata nak berhenti menyanyi, maka ia adalah benar dan dari detik itu jugalah saya berjanji untuk tidak akan kembali lagi dalam industri.

“Mungkin saya akan bertudung, siapa tahukan? Lagipun inilah masanya saya nak luangkan lebih banyak waktu bersama keluarga.

“Insya-Allah satu hari nanti saya pasti akan bersara. Cuma sekarang saya akan terus menghiburkan orang selagi mana diperlukan,” tuturnya.

Mengulas berita mengenai dirinya yang bersara dan menggunakan satu produk kecantikan seperti yang dilaporkan pada bulan lalu, penyanyi lagu Legenda itu juga menganggap apa ditulis itu tidak masuk akal.

“Merepeklah! Saya kesian kepada peminat yang terpengaruh dengan penipuan itu dan percaya kalau saya pengguna produk berkenaan.

“Ini adalah tanggungjawab saya untuk menafikan sekeras-kerasnya penyalahgunaan nama saya dengan cara kurang tepat untuk melariskan produk mereka.

“Saya tidak mahu orang yang membeli rasa tertipu dan menyangkakan jika Sheila Majid juga menggunakan produk tersebut,” luahnya kesal.