Anugerah Nasyid 2017
Anugerah Nasyid 2017

Dalam arus muzik, pelbagai rentak atau genre yang dilahirkan termasuk yang dikategorikan sebagai irama nasyid, padang pasir, world music dan lagu-lagu- ketuhanan.

Bermula dari Segmen Carta Nasyid Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang disiarkan di corong radio IKIM pada tahun 2015, tercetus idea untuk meramaikan pendengar bagi mengikuti siaran berkenaan dengan diguna pakai konsep undian pendengar pada setiap minggu.

Tanpa mengambil kira kualiti, undian daripada pendengar menjadi kayu ukur dan diniali pula mengikut sistem pemarkahan yang ditetapkan oleh IKIM maka sesebuah lagu ‘popular’ itu akan sampai ke tahap menduduki carta teratas segmen berkenaan.

Pastinya kemuncak kepada segala pengundian melalui pendengar adalah konsert yang akan diadakan pada 13 Januari ini bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

Mereka yang bernasib baik dapat melangkah ke final Anugerah Nasyid 2017 terdiri daripada Lah Ahmad, Rabbani & Black, Adeep Nahar , Baba Andy , Daqmie, Hafiz Hamidun & Fadzli Fareast , Mawi & Syamsul Yusof, Heliza Helmi & Hazwani Helmi, Unic dan 
Simfoni.

Manakala 30 buah lagu yang dipertandingkan sebelum ini, hanya 10 yang melangkah ke peringkat akhir.

Lapan kategori yang dipertandingkan pada peringkat akhir nanti diadili oleh panel juri yang profesional dan atas lantikan dan pilihan pihak IKIM.

Lapan kategori itu ialah Juara Anugerah Nasyid 2017, Naib Juara, tempat ketiga, Anugerah Lirik Terbaik, Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik, Artis Baru Terbaik dan Muzik Video Terbaik.

Juga diwujudkan anugerah bagi kategori pilihan pendengar atau pentonton iaitu Anugerah Lagu Pilihan, Anugerah Artis Solo Pilihan dan Anugerah Artis Duo atau Berkumpulan.

Dengan adanya majlis penganugerahan ini, persoalannya apakah lagu-lagu nasyid atau genre nasyid 2018 ini akan melahirkan karya yang lebih bagus, mantap, bertaraf antarabangsa atau hanya sekadar ‘jaguh kampung’? - UTUSAN ONLINE