Penyertaannya dalam program realiti Mentor Otai musim pertama membuktikan pemilik nama penuh Kamarol Azril Al’Azemi itu amat serius mahu mencorakkan kanvas seninya dalam bidang nyanyian.

Meskipun dia mempunyai pengalaman 25 tahun sebagai penyanyi profesional, hakikatnya AJ masih bertatih mencari tempat untuk menyesuaikan diri dalam muzik arus perdana.

Atas dasar itu dia menjadikan platform Mentor Otai sebagai permulaan untuk memperluaskan skop karier seni sekali gus meyakinkan pengikut muzik tanah air tentang bakatnya.

“Walaupun penyertaan saya dalam arena seni agak lambat, namun sekurang-kurangnya saya memberanikan diri untuk mencuba demi mencari ruang dalam industri.

“Sekalipun tak bergelar juara, jujurnya saya amat berpuas hati dengan pencapaian itu. Berada di pentas akhir dan satu-satunya peserta lelaki bersama tiga lagi peserta wanita, ia amat membanggakan.

“Saya akui program Mentor Otai banyak mengilap bakat saya sebelum keluar melihat dunia sebenar. Inilah yang sedang rasai sekarang. Saya bersyukur kerana bergelar salah seorang produk program realiti ini,” katanya yang berharap rancangan ini tidak terhenti pada musim pertama.

Sementelah itu, kedatangan AJ ke Studio Utusan baru-baru ini juga adalah sebagai salah satu usahanya untuk mempromosikan single sulung, Tetap Bertahan ciptaan Yas Abdullah dan Johan John sementara liriknya pula ditulis Shah Shamshiri bersama Ayu Syuhara.

Memilih genre pop balada sebagai permulaan, AJ meletakkan harapan besar buat lagu itu agar dapat menambat hati peminat muzik tempatan tanpa mempunyai sasaran pengikut.

“Saya mahu lagu yang dibawa ‘melekat’ di hati pendengar tanpa mengira usia. Biarlah angka itu menjadi perkara kedua, yang penting lihatlah pada bakat saya, bukan dari segi fizikal.

“Saya pernah didatangi peminat yang jauh lebih muda sewaktu selesai membuat persembahan. Dari situ rasanya kelibat saya semakin mendapat perhatian dan disambut baik oleh mereka.

“Lagu Tetap Bertahan mempunyai susunan muzik yang sangat menarik untuk didengari. Proses pembikinan lagu dan merakamkannya mengambil masa tiga bulan untuk disudahkan,” kongsinya.

Projek khas

Selain sibuk mengukuhkan karier solo, AJ juga mendedahkan dia baru sahaja muncul bersama projek band The Gomen’s yang disertainya sejak dua bulan lalu.

Kata AJ, dia tidak kisah walaupun kerjayanya baru bermula dan tidak terlalu ghairah mengejar nama dan populariti. Ia lebih kepada kepuasan yang dicari-cari selama ini.

“The Gomen’s adalah sebuah projek khas yang ditubuhkan untuk memeriahkan industri muzik. Saya tetap menerima tawaran untuk menjayakan persembahan secara solo dan dalam masa sama jika ada permintaan untuk saya bersama kumpulan, insya-Allah akan ditunaikan.

“Sebelum bergerak solo, saya pernah menyertai kumpulan Kiara. Saya sudah terbiasa bergerak dalam kumpulan, maka atas dasar itulah tertubuhnya band ini.

“Saya berharap kehadiran kami disambut baik oleh semua peringkat usia,” katanya penuh harapan.