Menurutnya, keadaan kesihatan kini tidak begitu baik dek kerana kurang tidur semata-mata untuk membahagikan masa demi kerjaya dan keluarga.

"Jadual saya sekarang memang padat hingga tidak cukup tidur. Tetapi bila lihat wajah anak, ia terus beri semangat dan tenaga kepada saya.

"Rakan-rakan terutamanya daripada anggota kumpulan juga banyak berkongsi pengalaman dan nasihat untuk menjadi seorang bapa," katanya.

Akim ditemui selepas selesai konsert Akim & The Majistret buat pertama kali di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) malam tadi.

Tiga hari sebelum konsert, Akim dan isterinya, Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 27, menerima berita gembira selepas menimang cahaya mata perempuan pertama.

Dalam pada itu, Akim memilih nama Eishaal yang bermaksud bunga syurga untuk diberi kepada anak pertamanya.

Menurutnya, nama tersebut belum didaftarkan secara rasmi dan dia juga akan bertanya kepada yang pakar mengenai nama-nama lain.

"Nama Eishaal itu keluar selepas saya melihat sendiri bayi pertama saya. Sebelum ini pun saya pernah beritahu yang nama akan diberi selepas saya melihat wajah anak saya,"katanya.

Bercerita mengenai isterinya, jelas Akim, dia bersyukur kerana semua proses berjalan dengan lancar.

"Cuma anak pertama kami, Bella mula-mula nampak macam merajuk. Tetapi lama-kelamaan semuanya baik.

"Lagipun itu tugas saya untuk mendidik dan memberi kasih sayang yang seimbang kepada mereka berdua," katanya.

Bella, 5, merupakan anak angkat yang dipelihara Stacy sejak tahun 2011. - UTUSAN ONLINE