Amira, 14, yang pernah diangkat sebagai juara sebuah program realiti televisyen, Ceria All Stars musim pertama dua tahun lalu, baru-baru ini menerima satu lagi pengiktirafan daripada YouTube Awards Night.

Pemilihan Amira adalah atas dasar lebih 100,000 individu melayari platform media sosial tersebut untuk menonton video dram cover yang dipaparkan oleh anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Kejayaan Amira menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sebayanya termasuk adik Aiman Haqim, 13.

Walaupun Aiman lebih cenderung kepada menjadi anggota artis berkumpulan namun persembahan Aiman dalam membuat dram cover akan dapat disaksikan pada petang ini.

Lima lagu dram cover akan dipersembahkan oleh Amira dan lima lagu lagi oleh Aiman.

Segmen Busking Bersama Buskers yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada 18 Ogos lalu, terus memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan buskers dan pemain muzik untuk memperlihatkan bakat dan kebolehan mereka bermain alat muzik.

Dihoskan oleh Apak, Busking Bersama Buskers pada petang ini menggabungkan Amira dan Aiman, satu gabungan yang julung-julung kali diadakan untuk menghiburkan para peminat kedua-dua pemain dram cover tersebut.

Dibuka kepada tontonan orang ramai, Busking Bersama Buskers yang di adakan dua minggu sekali, hari Jumaat, boleh ditonton dengan melayari Facebook Utusan Online. Caranya, LIKE Facebook Utusan Online dan anda akan dapat notification apabila Busking Bersama Buskers bersiaran secara langsung 5 petang nanti. - UTUSAN ONLINE