Berkata kepada Utusan Online, peneraju filem Badang itu memberitahu dia membuat keputusan untuk membeli aset berkenaan memandangkan saingan sengit yang dihadapinya dalam mengusahakan perniagaan kosmetik di bawah syarikat D’Herbs Healthy Sdn. Bhd., miliknya.

“Sekarang ini, sesiapa sahaja boleh jual produk kosmetik. Malah, makcik ‘bawang’ di belakang rumah saya pun jual produk kosmetik.

“Persaingan ada di mana-mana tanpa ada batasan. Jadi, saya tidak boleh bergantung dengan hasil jualan produk kosmetik semata-mata.

“Perlu ada perniagaan alternatif untuk mencambahkan pendapatan. Satu sumber sahaja tidak memadai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut bintang realiti Oh Abang Kosmetik itu lagi, selain masih rancak menyusun strategi agar produk kosmetiknya kekal relevan di samping menceburi bidang perhotelan, Aliff juga fokus untuk membangunkan perniagaan makanan yang baru diusahakannya.

Restoran Romah Makan Terlajak Laris yang baru dilancarkan pada Januari lalu jelasnya semakin mendapat sambutan memberangsangkan daripada para pelanggan.

“Setelah beberapa bulan beroperasi, Alhamdulillah restoran saya sentiasa penuh dan sudah mempunyai pelanggan tetap.

“Selain bisnes restoran, saya turut mengeluarkan produk makanan di bawah jenama D’Herbs Terlajak Sedap.

“Menerusi perniagaan berasaskan makanan ini, saya mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menjadi ejen atau stokis,” jelasnya.

Terdahulu, Aliff sebelum ini sudah memiliki sebuah syarikat iaitu Sugeh Group of Resorts yang mengusahakan Sugeh Hill Exclusive Eco Resort yang terletak di atas tanah seluas lapan ekar di Janda Baik, Pahang bernilai RM13 juta dan Sugeh Village Country House di Sungai Buloh. - UTUSAN ONLINE