Memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya dahulu, Ariff Bahran dan rakan baiknya Sarah Suhairi yakin hubungan indah ini masih terlalu awal untuk dipastikan pengakhirannya.

Walaupun menerima pelbagai reaksi lantaran keberanian bercakap soal hubungan itu, bagi Ariff dan Sarah sendiri, mereka tahu bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

Mahu menggunakan peluang dan ruang untuk mencipta kejayaan dalam kehidupan muda mereka, saat ini tiada yang lebih utama selain membuktikan kemampuan diri dalam gelangggang seni tempatan.

Ariff Bahran – Jangan buat andaian

Selesa untuk menjadi  rakan lelaki paling rapat dengan Sarah kini, Ariff, 21, bagaimanapun tidak mahu kenyataannya terus disalah erti. Menolak sedang dikuasai cinta, ternyata dia masih waras untuk meletakkan fokus diri.

“Jangan terus membuat kesimpulan dalam soal ini memandangkan saya lebih tahu apa maksud sebenar kenyataan saya. Ketika ini saya tidak nafikan kami sedang berkawan rapat.

“Saya tahu banyak kenyataan yang diolah sehingga membayangkan saya sedang dilamun cinta dan sebagainya.  Malah ada yang membayangkan saya akan berkahwin dalam waktu terdekat.

“Jujurnya hubungan ini masih terlalu jauh dan kami mengikut rentak sahaja. Saya dan Sarah masih muda dan masih banyak yang perlu kami capai dalam bidang seni,”katanya jujur.

Mengenali Sarah sejak beberapa tahun lalu, hubungan mereka yang  bermula sebagai rakan industri kini beralih kepada rakan paling akrab. Kongsi Ariff, antara faktor yang menyebabkan mereka kian rapat kerana berada di bawah pihak pengurusan yang sama.

“Saya mengenali Sarah sudah lama malah ketika kami menyanyi dalam akaun YouTube lagi tetapi hanya mula rapat baru-baru ini. Bukan bercinta, tetapi kami tidak nafikan sedang mengenali hati budi masing-masing.

“Bila berada di bawah label yang sama tentunya perjumpaan terjadi lebih kerap. Tetapi ia lebih kepada kerja sahaja. Sarah juga akan ditemani ayahnya ke mana-mana, jadi jangan salah anggap,” katanya.

Sarah Suhairi kalis kontroversi

Mengambil masa hanya beberapa bulan untuk dikenali sebagai antara penyanyi remaja popular kini, Sarah akui dia cukup bernasib baik lantaran laluan menjadi artis hadir dengan mudah.

“Alhamdulillah saya akui memang bernasib baik kerana cepat dikenali. Bila melihat ada penyanyi lain yang masih bersusah payah untuk menempatkan diri saya sangat menghargai peluang yang hadir.

“Bagaimanapun membuat keputusan untuk berada dalam industri ini bermakna saya juga bersetuju untuk menerima implikasi kontroversi yang datang. Dalam keadaan ini saya harus terima sahaja,” katanya.

Menerima pelbagai reaksi mengenai hubungan akrabnya dengan Ariff. Sarah yang juga juara program Big Stage musim  pertama ini tidak melihat perlu baginya mewujudkan persepsi berbeza tentang diri sendiri.

“Saya masih orang yang sama, bermakna saya tidak perlu hadkan diri untuk meneruskan persahabatan dengan orang lain. Saya fikir Ariff juga sama dalam soal ini. Memang benar saya dan dia akrab tetapi tidak bermakna kami tidak boleh berkawan dengan orang lain.

“Kami terbuka untuk bersahabat dengan sesiapa, dalam soal ini saya juga tahu batasan dalam persahabatan,” katanya.

Semakin diterima sebagai pelakon, Sarah bagaimanapun tidak melihat tahun 2019 ini sebagai tapak untuknya bersandar kepada dunia lakonan sahaja. Sarah  mahu memfokus kepada bidang nyanyian dahulu. 

“Saya akui berlakon agak memenatkan berbanding menyanyi. Jadi tahun ini saya akan mengambil cuti untuk berlakon demi memberi fokus kepada bidang nyanyian.

“Memang ada tawaran tetapi saya tidak mahu komitmen terhadap bidang nyanyian terganggu dahulu,” katanya jujur. 

Sementara itu kali pertama dicalonkan dalam anugerah Era Digital Muzik Awards (EDMA 2018), Sarah akui teruja. Ia juga merupakan kali pertama dia dicalonkan dalam mana-mana anugerah sepanjang sembilan bulan bergelar artis.

“Saya dicalonkan dalam tiga kategori untuk Muzik Video Paling Lit, Penyanyi Paling Lit di Media Sosial dan Temubual Terbaik Carta Era. Ini pengalaman pertama saya dicalonkan dalam anugerah dan saya ambil ini sebagai satu pengalaman baharu.

“Saya tidak mengharapkan sebarang kemenangan. Tersenarai menjadi calon pun saya dah bersyukur,”  katanya.

Bukan Gimik

Berada di bawah pihak pengurusan yang sama, ada yang berpendapat apa yang cuba dicetuskan dua remaja ini tidak lebih dari satu lagi gimik untuk melariskan nama. Menolak itu yang cuba dilakukan dia dan Sarah, kata Ariff saat ini dia lebih tahu perancangan kariernya.

“Apa yang sedang berlaku ini bukan cubaan gimik untuk projek akan datang.

“Saya tidak terfikir untuk meneruskan apa-apa projek dengan Sarah ketika ini, malah saya juga yakin Sarah sedang berada di atas landasan yang baik untuk mengembangkan karier nyanyiannya.

“Sama seperti dia, saya juga mempunyai perancangan untuk karier nyanyian saya demi mengukuhkan nama,” katanya lagi.

Tidak mahu menafikan  hubungan baik yang terjalin ini menarik minat ramai pihak terutamanya peminat. Bagi Ariff atau nama Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, dia sentiasa menghormati pendapat yang diberikan. 

“Bagi mereka yang mengharapkan  sesuatu yang baik melalui keakraban kami ini teruskan berdoa. Macam saya kata tadi perjalanan saya dan Sarah masih terlalu jauh dan tentunya dalam keadaan ini fokus kami adalah untuk kerjaya dahulu.

“Namun bagi mereka yang tidak menyenangi tidak perlu mengecam dan membuat andaian sendiri. 

“Saya yakin peminat yang benar-benar mengenali siapa Ariff dan Sarah sahaja yang tahu apa yang berlaku di antara kami,” katanya panjang lebar.