Bekerjasama dengan dua rakannya, pemuzik S. Atan dan ahli perniagaan Adib Khalid, album diberi judul Nada Seni Gema Lebaran Legenda itu memuatkan 24 buah lagu raya malar segar yang dirakamkan semula.

“Proses rakaman semula bermula pada awal tahun ini dan kesemua karya tersebut digubah tanpa mengusik sedikit pun melodi asal lagu berkenaan.

“Pemilihan barisan penyanyi yang menyanyikan semula lagu-lagu ini adalah mengikut julat suara penyanyi asal supaya dapat mengekalkan keaslian karya tersebut.

“Pembaharuannya adalah melodi tidak diubah tetapi disuntik gaya nyanyian baharu dalam lagu raya klasik yang menjadi siulan hingga kini,” kata pemuzik yang juga pemilik syarikat rakaman Wake The Baby Records itu.

Ajai berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album tersebut yang diadakan di sebuah hotel di sini kelmarin.

Antara barisan artis yang terlibat ialah Ziana Zain, Sanisah Huri, Ramlah Ram, Salamiah Hassan, Hazama Azmi, Hael Husaini, Syamel Aqmal, Haziq Rosebi, Salwa Abdul Rahman, Fazli Zainal dan Salma Asis.

“Album ini adalah tanda apresiasi kepada penyanyi veteran yang telah mewarnai pentas muzik tanah air sekian lama di samping mengalu-alukan pendatang baharu,” tambahnya.

Mengulas lanjut pembabitan penyanyi muda seperti Hazama, Haziq, Salma, Hael dan Syamel, kesemuanya memenuhi kriteria yang diinginkan iaitu kualiti vokal yang mampu menambah rasa dalam lagu-lagu dendangan mereka.

Album terbitan Eight Minarets Sdn. Bhd., edaran Universal Music Malaysia itu dijual pada harga RM25 setiap satu dan boleh didapati di platform digital bermula Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE