Merupakan lagu ciptaan dirinya sendiri dan Mel Ramlan, kongsi Aizat dia yakin apa yang dilaluinya turut dirasai mereka yang pernah kehilangan orang tersayang.

“Sepatutnya lagu ini dikeluarkan pada Disember lalu tetapi keadaan ayah saya tidak mengizinkan ketika itu.

“Sebelum memilih tajuk Angin Lalu, sebenarnya tajuk lagu ini adalah Sepi. Apa yang saya boleh kata mengenai lagu ini, ia bercerita mengenai kehilangan seseorang. Bukan mengenai kisah untuk melupakan tetapi bagaimana kita membawa apa yang berlaku ke masa depan.

“Termasuk dugaan dan memori yang ada kerana kita tidak mungkin akan melupakanya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem pendek Angin Lalu di Damansara hari ini.

Sementara itu Aizat, 32, turut berkongsi permergian ayahnya, Datuk Amdan Mat Din yang meninggal akibat angin ahmar 9 Januari lalu membuatkan dia terasa sunyi.

“Tidak dinafikan saya sunyi tetapi kehidupan harus diteruskan.

“Buat masa ini saya banyak memberi fokus kepada kerjaya sahaja,” katanya ringkas.

Bercakap mengenai filem pendek untuk lagu baharunya ini, kongsi Aizat apa yang ingin dilakukanya adalah sebagai gimik sebelum melancarkan lagu itu pada 17 Mei nanti.

“Memang ini gimik sebab dalam waktu sekarang kita perlu lebih kreatif. Jadi saya pilih untuk menerbitkan sebuah filem pendek.

 

“Saya tidak berlakon sekadar membuat kemunculan istimewa sahaja.

“Nampak berbeza sedikit untuk lancarkan lagu begini dalam bulan puasa kerana selalunya lagu- lagu raya sahaja, jadi saya mahu buat kelainan,” katanya.- UTUSAN ONLINE