Kongsinya, lagu yang sudah disiapkan sejak enam tahun lalu itu juga merupakan hasil nukilan ayahnya sendiri, Datuk Amdan Mat Din.

“Lagu ini memang ayah saya sendiri yang hasilkan. Sayangnya, dia tidak dapat hadir pada hari ini kerana tahap kesihatannya tidak mengizinkan. Bagaimanapun, dia sangat mengagumi Tun M sejak dari dahulu lagi.

“Sebagai anak, saya yakin dia sangat bangga dengan pelancaran single ini. Dalam masa yang sama juga saya turut mengagumi Tun M yang kini menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia sekiranya ada pihak yang melihat kehadiran single ini seperti cubaan mengambil kesempatan terhadap situasi politik kini, ujar Aizat, dia yakin itu adalah perkara biasa yang perlu dihadapi.

“Bagi saya, lagu ini adalah satu kebetulan memandangkan lagu ini sudah lama ditulis. Malah lagu ini juga adalah lagu patriotik yang ditujukan khas buat Tun M.

“Apa sahaja kritikan yang dibuat saya akan terima sebab bagi saya itu adalah normal. Dalam laman sosial saya juga sudah ada yang memberi reaksi berbeza ada yang positif dan negatif,”katanya lagi.

Aizat kini sedang mengumpulkan ucapan hari lahir untuk Tun M melalui laman sosialnya dan kesemua ucapan itu akan dikumpulkan dalam sebuah video sebelum diserahkan kepada beliau. - UTUSAN ONLINE