Berkata kepada UTUSAN ONLINE, Aishah memilih untuk membuat rawatan tersebut setelah tidak dapat menahan kesakitan di bahagian lutut lantaran berat badannya yang berlebihan.

“Pembedahan yang dinamakan ‘gastric bypass’ itu merupakan satu kaedah untuk mengecilkan bahagian perut bagi mengatasi masalah berat badan berlebihan.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan saya berada dalam keadaan okey. Tetapi, buat masa ini saya mahukan sedikit privasi tanpa kehadiran pelawat selain ahli keluraga terdekat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Aishah, dia menjalani pembedahan tersebut di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, di sini hari ini setelah dimasukkan ke wad semalam.

Dalam pada itu Aishah menambah, dia berhajat untuk menunaikan haji jika diizinkan Allah dan berharap selepas ini aktiviti amal ibadahnya tidak terbatas.

“Harapnya kaki saya tidak sakit lagi dan dapat melakukan ibadah dengan sempurna. Cita-cita saya hendak tunaikan haji secepat yang boleh,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE