Pengarah AIFFA, Livan Tajang berkata, idea itu merupakan salah satu elemen yang menarik sempena AIFFA kali ini dan berharap dapat dicatatkan dalam Guiness Book World of Records.

“Bagi saya, pemakaian kostum beramai-ramai ini amat menarik dan merupakan elemen baru yang kami cuba suntik kerana ini kali ketiga AIFFA dianjurkan secara tetap di Kuching sejak 2013.

“Bukan itu sahaja, program ini juga akan turut disertai oleh selebriti-selebriti terkenal dari seluruh negara ASEAN dan kami memerlukan lebih 250 penyertaan dari orang ramai,” kata Livan pada pelancaran AIFFA 2017 di sini, hari ini.

Sementara itu, Livan berkata, ada beberapa kriteria wajib yang harus dipatuhi untuk kostum kucing ini iaitu telinga kucing, misai dan juga ekor.

“Kriteria ini amat mudah untuk dipenuhi, dan bagi mereka yang tiada misai kucing boleh melukisnya sahaja.

“Di sinilah semua orang boleh serlahkan kreativiti masing-masing. Selain itu, kami ada sediakan hadiah menarik bagi kostum kucing yang kreatif dan terbaik,” ujar Livan.

Katanya, beliau berharap orang ramai dari seluruh Malaysia dan juga negara ASEAN yang lain dapat sertai pemakaian kostum kucing beramai-ramai ini.

Disamping cubaan untuk memecah rekod dunia, AIFFA kali ini menerima 120 penyertaan dari seluruh negara ASEAN di mana 44 penyertaan dari Malaysia, lebih 40 penyertaan daripada Filipina dan selebihnya dari negara ASEAN yang lain.

AIFFA dianjurkan dua tahun sekali bagi mengetengahkan bakat-bakat pembikin filem dari sepuluh negara ASEAN terutamanya dalam kalangan pengarah filem muda.

Terdapat 16 anugerah dipertandingkan dan ia bakal diumumkan dalam acara kemuncak Malam Gala pada 6 Mei hadapan.-UTUSAN ONLINE