Jelas Mei Fen, Aeril sebenarnya adalah penyelamat tertaer yang dipentaskan di Istana Budaya itu selepas pelakon lelaki yang sepatutnya memegang watak utama terpaksa menarik diri.

“Puas saya cari pengganti. Hampir separuh pelakon lelaki Malaysia saya hubungi namun semua ada komitmen. Beberapa Hari sebelum sidang akhbar kedua, kami cuba dapatkan Aeril.

“Jadualnya terlalu padat tapi bila dia dapat tahu kami masih mencari pelakon utama, dia dengan rendah hati setuju membantu kami. Jadi kami susun latihan mengikut jadual yang diberi.

“Aeril juga sanggup ketepikan penggambaran dramanya dan hadir ke sesi latihan beberapa hari sebelum persembahan. Dia datang dengan persediaan yang cukup rapi tanpa sebarang masalah,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Baru-baru ini, dalam ruangan pojok, Aeril didakwa bersikap diva setelah dikatakan hanya hadir ke sesi latihan beberapa kali sahaja.

Dalam pada itu, Mei Fen berkata, dakwaan kononnya bayaran Aeril yang dikatakan mencecah ratusan ribu juga adalah satu fitnah dan khabar angin tidak berasas.

“Aeril sangat menyokong dan teruja dengan perjuangan anak seni muda. Dia langsung tidak demand terutama bab bayaran. Dia hanya mengambil separuh daripada bayaran dan selebihnya diberikan kepada pelakon lain yang gigih berlatih.

“Dia seorang yang sangat merendah diri serta rakan pelakon yang baik. Dia selalu berbincang dengan saya untuk memantapkan lagi lakonan kami sebagai Tengku dan Yin Feng.

“Dia juga tidak mempunyai masalah bergaul dengan kru produksi serta pelakon lain. Kalau ada yang cakap Aeril diva, itu bukan dia. Ada yang lebih diva daripada dia,” katanya. - UTUSAN ONLINE