Aeril Zafrel

Menjelaskan keadaan sebenar, Aeril memberitahu, dia sebenarnya sudah memaklumkan mengenai jadualnya kepada pihak produksi malah dia juga mempunyai sebab mengapa hanya mampu muncul enam kali sahaja untuk pementasan teater berkenaan yang dipentaskan bermula 28 Ogos hingga 1 September lalu.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh dimanipulasi. Sebetulnya saya hanya dipanggil untuk menjayakan teater ini dua minggu sebelum pementasan.

“Atas dasar ingin membantu, saya terima tawaran tersebut walaupun jadual saya agak ketat.

“Malah saya turut menjelaskan kepada pihak produksi mengenai kekangan masa saya berikutan komitmen kepada kerja lain dan mereka bersetuju dengan permintaan saya memandangkan perlu mengutamakan komitmen yang sudah diterima terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Aeril turut membuat penjelasan mengenai pihak produksi teater tersebut yang sebelum itu telah menawarkannya watak utama sebagai Tengku Khalis.

Namun kata Aeril, dia terpaksa menolak tawaran tersebut kerana terikat dengan komitmen lain.

Bagaimanapun dia tidak menyangka mereka tetap memintanya menjayakan teater tersebut pada saat-saat akhir.

“Beberapa bulan sebelum itu memang pihak produksi ada menghubungi saya dan meminta saya membawakan watak tersebut. Tetapi saya menolaknya kerana komitmen saya pada waktu itu.

“Saya ingatkan ada pelakon lain yang ganti namun bila dihubungi pada saat-saat akhir, saya fikir mengapa tidak saya menerimanya dengan harapan, ini adalah cara untuk saya membantu teater tersebut,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE