Sehubungan itu, pada 15 September ini, pukul 8 malam, Syarikat Oriental Businesslink Events & Media Sdn. Bhd., dengan kerjasama Permodalan Guru Malaysia serta disokong oleh Kementerian Belia Dan Sukan, menganjurkan Larian Merdeka 2018 (Merdeka Night Run).

Pada sidang media yang diadakan baru-baru ini, Pengerusi Permodalan Guru Malaysia Berhad, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, larian itu diadakan sebagai meraikan kerajaan baharu dan pada masa sama ia menjadi platform untuk menyatupadukan rakyat.

“Justeru ia dinamakan Larian Merdeka kerana semua bangsa dapat hidup bersama dalam sebuah negara yang merdeka. Jarak larian ialah 10, lima dan tiga kilometer (km), ” katanya.

Acara pada hari itu akan bermula seawal pukul 5 petang dengan pelbagai atur cara iaitu Flashmob / Pameran Kereta Vintage dan Motosikal Berkuasa Tinggi, Zumba, Persembahan Dram, Tarian Kebudayaan, Menyanyikan Lagu Patriotik, Serahan Jalur Gemilang dan acara kemuncak ialah Konsert Semarak Harapan (9 malam) serta pertunjukan bunga api.

Artis yang akan membuat persembahan iaitu Yasin Brothers, Datin Alyah, kumpulan XPDC, Sheeda Dangdut, kumpulan Kapilla dan Man Khan.

Menurut Amiruddin, mereka menyasarkan peserta seramai 15,000 orang dan hanya dalam beberapa hari penyertaan dibuka pada awal Ogos lalu, jumlah itu berjaya dicapai. Ada peserta dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat dan Rusia.

“Masih ramai yang mahu turut serta dalam larian ini dan mereka bolehlah mengisi borang penyertaan secara manual,” katanya kepada media.

Jelas Amiruddin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan ‘melepaskan’ larian itu. Dijangka hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya lagi ramai artis dan selebriti akan ‘berlari’ pada larian itu antaranya Tunku Anis, Ropi, Watie Elite, Joey, Beego, Keena Mentor, Alif AF, Nas Adilla, Siraj Alsagoff, Rizal Kilauan Mas, Nas Kilauan Mas, Munir Phyne Ballers dan Abam Bocey.

Sementara itu, Abam ketika dihubungi berkata dia akan ’cuba berlari’ pada malam itu.

“Dalam masa empat bulan saya mengurangkan berat badan sebanyak 32 kilogram (kg). Berat saya sekarang 154kg dan berazam untuk menurunkan lagi berat sehingga menjadi 100kg.

“Sebelum berlari saya akan minta pandangan daripada jurulatih sama ada saya boleh berlari atau tidak kerana saya tidak mahu sebarang kecederaan pada lutut.

“Jika saya tak boleh berlari pun, saya akan berjalan dengan isteri untuk mengeluarkan peluh. Bukan saya nak menang tetapi sekadar untuk bersama rakyat Malaysia meraikan kemerdekaan negara,” katanya.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, beritahu dia tidak bersenam di gimnasium, hanya mengamalkan diet seimbang, makan enam sekali sehari dalam bahagian yang kecil. Jika ada kelapangan dia akan bermain badminton dengan kawan-kawan.

“Dengan keadaan tubuh saya sekarang, saya tidak boleh terlalu lasak. Jadi saya hanya amalkan pemakanan seimbang. Nampaknya pelan pemakanan yang disediakan jurulatih saya itu berkesan menurunkan berat badan.

“Saya melakukan itu semua untuk menjaga kesihatan dan apabila sudah ‘ringan’, bolehlah saya lebih aktif bersukan,” katanya yang kini sibuk dengan program Superspontan Extravaganza 2018. - UTUSAN ONLINE