Jelas aktor berusia 42 tahun itu, walaupun penyakit misteri yang dialami tidak sepenuhnya sembuh namun pada waktu sekarang dia sudah mampu untuk menerima tawaran lakonan.


“Antara penyakit yang saya alami bermula dengan sakit belakang sebelum ini.


“Saya menerima nasihat daripada seorang kenalan untuk mengamalkan surah-surah di dalam al-Quran dan dengan izin Allah setakat ini sakit saya semakin baik.


“Sebenarnya penyakit yang dialami ini datang dan pergi. Hampir enam bulan juga saya berehat daripada melakukan sebarang aktiviti seni. Hanya bulan ini baru kembali aktif,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran Aaron Aziz Series Ruqyah Edition bersama TopKhat di sini sebentar tadi.


Tidak melihat dia perlu berfikiran negatif dengan perkara yang dilalui, Aaron menjelaskan, dia yakin yang dihadapinya itu adalah kerana Allah sedang mengujinya.


“Apa-apa juga yang berlaku adalah dengan izin Allah dan ketika ini saya yakin ini adalah ujian untuk saya. 


“Antara nasihat yang saya terima juga adalah untuk tidak menggantung gambar di dalam rumah jadi sekarang saya gantikan dengan ayat-ayat suci al-Quran selain mengamalkannya,” jelasnya lagi.


Sementara itu bercakap mengenai kerjasama dengan TopKhat dan pelancaran kempen Journey To Insyirah, Aaron memberitahu, ini adalah usaha awal untuk dia menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


“Sebanayak 20 peratus daripada setiap jualan Aaron Aziz Series Ruqyah Edition akan disalurkan kepada Journey To Insyirah. 


“Sebenarnya Journey To Insyirah adalah pilihan nama oleh isteri saya dan kerjasama dengan TopKhat ini adalah permulaan buat saya untuk mendapatkan dana dalam usaha untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.


Aaron Azizi Series Ruqyah Edition mempunyai lima rekaan berbeza yang dinamakan Abu Bakr As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman Ibn Affan Ali Bin Abi Talib dan Khalid Ibn Al-Walid. 


Kesemua rekaan ini juga akan disertakan dengan pilihan enam ayat Ruqyah iaitu Al-Fatihah, Al-Baqarah (ayat 1-5), Al-Baqarah (ayat 102), Ayat Kursi, Al-Baqarah (ayat 285-286) dan Al-Hasyr (ayat 21-24). 


Sementara itu setiap rekaan hadir dalam enam ukuran yang berbeza dengan harga bermula daripada RM99 hingga RM999. - UTUSAN ONLINE