Justeru penerbit terkenal, Datuk A.Aida kini kembali bersenam di gimnasium seperti mana rutin ketika zaman bujangnya.

Beliau memperuntukkan masa lima kali seminggu untuk melakukan amalan tersebut.

“Saya ingat pesanan doktor, ubat segala penyakit adalah bersenam dan menjaga pemakanan.

“Alhamdulillah, sampai sekarang saya tiada penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi,” kongsinya kepada Hits.

Namun, wanita berusia 49 tahun ini mengaku untuk mencapai sasaran dan kepuasan diri bukan mudah.

Selain berbelanja besar, dia perlu menjalani rutin senaman angkat berat yang pada awalnya dirasakan ‘sangat seksa’.

Pernah beliau nyaris rebah ketika sedang bersenam selain terpaksa menanggung rasa sakit otot selama beberapa hari.

“Demi mahukan tubuh yang cantik dan sihat, saya sanggup ‘menyeksa diri’.

“Saya nyaris pitam dan mata berpinar-pinar ketika bersenam. Anggota badan sakit sampai nak mencangkung pun seksa.

“Tapi itu semua pengorbanan demi kesihatan, bentuk tubuh yang sempurna dan tidak menggelebeh.

“Malah saya berhabis RM3,000 sebulan membeli produk penjagaan kulit termasuk makanan tambahan dan vitamin,” katanya.

Kecaman

Tidak hanya bersenam, Aida mengikuti diet pemakanan yang diatur oleh jurulatih peribadinya yang juga pengurus pusat gimnasium Anytime Fitness Ampang, Ivan Thean.

“Sudah setahun saya tidak ambil makanan bergoreng. Hanya makan buah-buahan, ayam rebus atau salmon. Nasi sekali sahaja, itu pun pada hujung minggu.

“Saya juga tidak ambil gula dan garam. Kalau teringin minum kopi atau nescafe, saya buat tanpa gula.

“Kalau tidak ke gimnasium, saya lakukan kardio 15 minit setiap pagi di rumah,” katanya yang kini mencapai berat ideal 53 kilogram.

Akui Aida, beliau tidak terlepas daripada kritikan dan pandangan negatif segelintir pengguna media sosial setiap kali dia memuat naik foto sedang bersenam.

Namun, pemilik produksi A.Aida Production ini enggan mengambil pusing kata-kata yang dilemparkan warganet.

“Memang ada yang kecam dan tegur tentang aurat, tapi saya tidak peduli kerana yang penting saya mahukan tubuh badan yang sihat,” ujarnya juga dilantik sebagai duta Anytime Fittnes Ampang dan baru sahaja melancarkan dua produk iaitu minuman kesihatan Perfect 10 dan pakaian sukan jenamanya, AA Fitt.