Sebaliknya, beliau menilai filem itu dari sudut berbeza kerana mendapat maklum balas yang baik daripada pihak yang lebih profesional dan bukan pengguna laman sosial.


“Ini bukan sebuah filem yang gagal memandangkan saya yakin filem ini mempunyai kandungan yang baik.


“Dari segi kutipan juga tidak boleh kata filem ini gagal kerana filem ini hanya ditayangkan di 30 buah pawagam sahaja,” tegasnya kepada wartawan ketika ditemui di sini sebentar tadi.


Filem Pencuri Hati Mr. Cinderella merupakan naskhah terbaru arahan Ahmad Idham yang dibintangi oleh beliau sendiri serta dibantu oleh pelakon-pelakon lain seperti Atikah Suhaime, Datuk Eizlan Yusof, Cat Farish dan Hairul Azreen.

Difahamkan selepas beberapa minggu ditayangkan di pawagam, Pencuri Hati Mr. Cinderella hanya mengaut kutipan sebanyak RM60,000 iaitu satu angka yang amat mengecewakan bagi sebuah filem tempatan.

“Ketika ini kutipan filem itu sudah menjangkau RM60,000 bukan RM20,000 seperti yang didakwa,” kata Ahmad Idham.

Dalam masa sama, sutradara berusia 45 tahun itu juga menafikan, beliau bukan jenis manusia yang sukar menerima kritikan yang dilemparkan netizen di laman-laman sosial.

Sebaliknya, Ahmad Idham menegaskan, sebagai orang lama dalam industri filem, beliau menerima setiap kritikan untuk membuat kajian.


“Saya adalah seorang yang suka menganalisa setiap kritikan yang diberikan. Memang jawapan yang diberikan saya kepada netizen nampak seperti provokasi, tetapi mereka tidak tahu saya sedang mengkaji.


“Jadi jangan terkejut jika saya keluarkan filem berdasarkan apa yang berlaku ini iaitu mengenai netizen,” kata Ahmad Idham. - UTUSAN ONLINE