KUALA LUMPUR 29 Okt. - Ketua Juri program Gegar Vaganza 5 (GV5), Datuk Ramli MS tidak pasti sama ada Zamani akan mampu beraksi atau tidak pada minggu keenam yang akan berlangsung Ahad ini.
Menurut pengarah muzik terkenal itu, ini adalah kerana peti suara penyanyi utama kumpulan Slam itu mengalami gangguan yang teruk menyebabkan Zamani tidak berupaya melontarkan vokalnya.
Ramli yang berpengalaman luas berkata, beliau dapat merasakan Zamani tidak ada tenaga untuk melontarkan suara sehinggakan hanya kedengaran ‘suara angin’ saja dalam episod semalam.

“Malah, ketika saya meminta dia menyanyi (ketika siaran langsung) dalam nada paling rendah (A minor) pun dia tidak mampu.
“Kalau ditanya apakah dia mampu menyanyi malam ini, semuanya bergantung pada keadaan kesihatan esok atau lusa sama ada dia mampu pulih atau tidak,” tegas Ramli kepada Utusan Malaysia.
Ramli berkata demikian sebagai mengulas insiden Zamani yang tidak dapat meneruskan nyanyian pada episod GV5 semalam disebabkan peti suaranya ‘koyak’.
Sekalipun gagal menghabiskan nyanyian, Zamani diberikan peluang kedua menerusi imuniti penaja iaitu pengasas produk kesihatan dan kecantikan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang membolehkan penyanyi Gerimis Mengundang itu meneruskan cabaran.
Berhubung isu imuniti yang diperoleh Zamani, Ramli menegaskan, beliau tidak boleh mengulas panjang kerana tidak mempunyai kuasa terhadap perkara tersebut.
“Saya tidak boleh bantah imuniti kerana itu hak dia (Aliff Syukri). Saya sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai juri.
“Malang bagi Zamani kerana pihak juri tidak memberikan markah kerana ini merupakan pertandingan dan tidak adil kepada peserta lain,” jelas Ramli yang mengadili GV5 bersama-sama penghibur Datuk Khadijah Ibrahim sebagai juri tetap.