Malah seiring dengan perolehan aset seperti pesawat Bombardier CL 415 MP dan helikopter jenis AW139 serta AS350 Dauphin, Maritim Malaysia berusaha melahirkan lebih ramai juruterbang berkaliber tinggi untuk mengoperasikan aset terbabit.

Maka tidak hairanlah empat lagi juruterbang helikopter berjaya dilahirkan agensi itu selepas menjalani latihan di Layang-Layang Flying Academy Sdn. Bhd.(LLFA) Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Menurut Pengetua LLFA, Leftenan Kolonel (B) Chong Keng Lay, setakat ini LLFA merupakan satu-satunya pusat latihan yang diiktiraf Pejabat Pengangkutan Udara (ATO) di Malaysia dalam menyediakan latihan penerbangan helikopter.

“Kita dipertanggungjawab oleh Maritim Malaysia untuk melatih empat orang pegawai mereka bermula 1 Julai 2016.Empat pegawai yang dihantar menjalani latihan di sini merupakan pelatih yang hebat.

“Sepanjang latihan, mereka telah menonjolkan disiplin yang sangat tinggi walaupun berada di sebuah institusi akademik swasta, di samping menjadi pelajar contoh dalam memberi inspirasi kepada pelatih-pelatih lain,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Empat juruterbang Maritim Malaysia tersebut adalah Leftenan Madya (M) Syahril Annuar Osman, Leftenan Madya (M) Mohd Akil Md. Yussof, Leftenan Muda (M) Muhammad Amirul Abdul Mutalib dan Leftenan Muda (M) Muhamad Khairul Anwar Farizul.

Tambah Keng Lay , semua pegawai telah mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Pengetahuan Teknikal dan menunjukkan kemahiran penerbangan yang menakjubkan.

Sementara itu, Pengarah LLFA, Eric Lee berkata beliau berasa bangga melihat pegawai tersebut menamatkan latihan dalam jangka masa yang diberikan.

“LLFA mempunyai jurulatih penerbangan yang sangat berpengalaman, berdedikasi yang mementingkan kualiti dan mengutamakan keselamatan,” ujarnya.