Presidennya, Taqrir Akramin Khalib berkata, pelancaran komik ilmiah tersebut sebagai sebahagian daripada acara meraikan Hari Hemofilia Sedunia yang disambut hari ini.

Katanya, hemofilia merupakan sejenis penyakit keturunan yang mana penghidapnya mengalami masalah kekurangan faktor protein pembeku di dalam darah yang mengakibatkan pendarahan teruk apabila mengalami luka.

“Meskipun hemofilia dikategorikan sebagai penyakit jarang jumpa dan merupakan penyakit bawaan sepanjang hayat yang tidak boleh diubati, tetapi dengan adanya teknologi serta kemajuan dalam bidang perubatan selain penjagaan yang betul, pesakit boleh hidup sihat dan aktif.

“Apa yang membimbangkan terdapat golongan yang kurang mengambil peduli mengenai penyakit mereka menyebabkan ada kemungkinan terdedah kepada kecacatan kekal dan golongan ibu bapa yang terlalu berhati-hati sehingga menyekat kebebasan anak mereka lalu menyebabkan keadaan yang pasif membuatkan otot-otot pesakit lemah.

“Apabila berlaku keadaan ini, penghidap tidak mampu menjalani kehidupan seperti orang normal dan akhirnya hanya memberi bebanan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam majlis pelancaran The Hemophilia Mythbuster’s, di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan pelancaran komik ilmiah tersebut diharap dapat membantu pesakit dan penjaga memahami dengan lebih tepat tentang penyakit hemofilia, menekankan keperluan untuk berkongsi pengetahuan tentang rawatan yang tepat, serta meningkatkan keyakinan penghidap bahawa mereka mampu menjalani kehidupan yang berkualiti.

Katanya, kesedaran tentang hemofilia disebarkan dalam bentuk komik kerana pihaknya percaya medium tersebut cara terbaik untuk memberi inspirasi kepada penghidap terutama kanak-kanak untuk berdepan dengan cabaran, di samping menyebarkan mesej positif kepada orang ramai untuk menggalakkan pesakit yang mereka kenali menjalani kehidupan lebih berkualiti.

Komik ini dilukis oleh Jian Goh dari komik blog Miao & WafuPafu yang memfokuskan kepada beberapa mitos tentang penyakit tersebut bertepatan dengan tema Hari Hemofilia Sedunia 2018, iaitu Perkongsian Ilmu Menjadikan Kita Lebih Kuat.

Penerbitan The Hemophilia Mythbuster’s disokong oleh Shire Malaysia Sdn.Bhd, yang mana hasil jualan komik berharga RM24.90 itu akan disalurkan kepada Persatuan Hemofilia Malaysia.

Shire Malaysia juga memperkenalkan aplikasi Zero Bleeds, iaitu buku log digital yang direka untuk pesakit dan penjaga hemofilia untuk memudahkan mereka mencatatkan pendarahan yang berlaku dan pengambilan suntikan faktor konsentrat.- UTUSAN ONLINE