Kini, jeli bukan lagi sekadar pencuci mulut ringkas yang dihidangkan bersama ais krim atau kastard, sebaliknya menjadi asas kepada pembikinan kek jeli 3D, yang tampil mewah kerana seni yang tidak terjangkau dek fikiran.

Pertama kali melihat kek jeli, pasti mengingatkan kita tentang bunga plastik yang dijadikan perhiasan di rumah. Namun, apabila ditenung lebih lama sebenarnya bunga tersebut berada di dalam jeli.

Bagaimana pembuatnya mampu memasukkan bunga tersebut di dalam jeli, pasti menjadi tanda tanya?

Lebih membingungkan, ianya bukan bunga plastik seperti disangkakan tetapi bunga yang juga diperbuat daripada jeli, yang dimasukkan di dalam acuan kek jeli.

Berpeluang bertemu seorang pembuat kek jeli 3D tempatan, Nur Sumiyah Muhamad Hussin, 31, berjaya merungkai persoalan bagaimana kek tersebut dihasilkan.

Keunikan hasil kerja seninya menjadikan kek jeli ini semakin popular dan tular di media-media sosial.

Mesra disapa sebagai Sumiyah, katanya, kek jeli 3D berasal dari Vietnam dan mula mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sama seperti orang lain, pada awalnya dia juga berasa kagum dan hairan bagaimana kek jeli 3D dihasilkan.

“Saya hanya melihat proses penghasilannya di Youtube, tetapi saya tak berpuas hati dengan hanya melihat sahaja. Jadi, saya mengambil kelas asas untuk mengetahui cara pembuatannya.

“Bagi saya, ianya pengalaman yang menakjubkan dan saya dapat mengetahui teknik-teknik tertentu dalam pembuatan kek jeli 3D yang tidak diketahui orang,” katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Meru, Klang, Selangor baru-baru ini.

Awalnya, Sumiyah tidak bercadang membuatnya secara serius, namun bertukar fikiran selepas menyiapkan kek jeli 3D sebagai kek hantaran untuk sepupunya.

Katanya, ramai yang terpegun dengan kek tersebut dan meminta dia membuka tempahan.

Melihat ada pasaran terhadap kek jeli 3D, dia mengasah kembali kemahirannya dan selepas merasa yakin, mula mempromosikan di media sosial, Instagram @jarum_manis yang kini mempunyai seramai 10,000 pengikut.

Meskipun pembuatannya kelihatan sukar, apabila sudah menguasai teknik dengan menggunakan alat yang betul, ianya menjadi lebih mudah.

Walaupun dinamakan kek, kek jeli 3D tidak menggunakan sebarang adunan kek, sebaliknya hanya menggunakan jeli semata-mata. Biasanya jeli yang digunakan adalah daripada rumpai laut yang mempunyai tekstur seperti gelatin.

“Untuk menghasilkan sebiji kek jeli 3D, saya perlu menyiapkan dahulu asas kek yang menggunakan jeli tanpa warna atau lut sinar sebagai ‘kanvas lukisan’. Selepas jeli menjadi keras, saya akan panaskan jeli yang sudah diwarnakan dan menyedutnya menggunakan picagari.

“Di hujung picagari, acuan seakan muncung khas diletakkan untuk membentuk kelopak atau daun. Kuncinya terletak pada acuan yang digunakan dan bagaimana si pembuat menyusun atur kelopak atau daun dengan menyuntik jeli berwarna dari posisi belakang.

“Cabaran terletak pada kaedah susun atur tanpa si pembuat melihat hasil yang terjadi kerana asas jeli masih di dalam loyang. Jeli hanya dikeluarkan selepas rekaan 3D disiapkan.

“Hasilnya, kelihatan bunga-bungaan timbul di dalam jeli,” katanya yang menjual kek jeli 3D pada harga RM100 dan ke atas.

Bukan sahaja motif bunga, Sumiyah juga boleh mereka bentuk ikan koi dan pelbagai tulisan untuk dimasukkan ke dalam kek jeli.

Selain menerima tempahan, dia juga menganjurkan kelas bagi sesiapa yang berminat untuk menjana pendapatan dari rumah memandangkan kek jeli 3D mendapat permintaan yang tinggi ketika ini.