Walaupun belum rezekinya dinobatkan sebagai juara pada peringkat global, anak kelahiran Ipoh, Perak, ini bagaimanapun telah mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa apabila baru-baru ini memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Miss Lumiere International 2017.

Pertandingan tersebut yang berlangsung di Singapura pada November tahun lalu, menyaksikan anak bongsu daripada tiga beradik ini berjaya tersenarai dalam kedudukan tiga teratas daripada 30 peserta yang bertanding.

Bersyukur dengan pencapaian tersebut, Amy Nur Tinie yang lebih mesra disapa Tinie ini memberitahu, kemenangan tersebut secara tidak langsung memberinya semangat untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

Bercerita mengenai kemenangan tersebut, Tinie yang dijemput penganjur untuk menyertainya tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan jumlah peserta bertanding yang terlalu ramai.

“Miss Lumiere International 2017 merupakan pertandingan antarabangsa pertama yang saya sertai dan alhamdulillah walaupun tidak bergelar juara tetapi cukup memberi erti dalam resume saya hari ini.

“Saya akan terus menyertai pertandingan yang diadakan terutama di dalam dan luar negara sekiranya dijemput.

“Menerusi penyertaan pada peringkat antarabangsa seperti ini secara tidak langsung dapat mengembangkan lagi penglibatan saya di arena luar,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sejujurnya, karisme anak kacukan Melayu Arab ini terserlah apabila dia sendiri memberikan pandangan terhadap beberapa topik yang menunjukkan dia mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya.

Tinie bukan sahaja gemar membaca tatkala masa terluang, tetapi bertuah kerana dianugerahkan ingatan yang kuat untuk memudahkan nya mengingati setiap perkara yang dibaca.

“Saya mempertaruh setiap jawapan yang diberikan dan secara tidak langsung merupakan kekuatan diri yang dibawa setiap kali ke pertandingan yang disertai.

“Ini kerana sebelum menyertai pertandingan, saya akan membuat ulang kaji mengenai topik berkaitan yang akan disentuh.

“Tetapi ini tidak bermakna saya mengabaikan kecergasan diri, bentuk badan dan juga berat yang ideal kerana semua ini merupakan syarat paling utama untuk melayakkan diri menyertai pertandingan ratu cantik,” tuturnya.

Akan melakukan latihan senaman yang lebih kerap berbanding hari biasa bagi memastikan badan sentiasa bertenaga dan cergas, Tinie memberitahu dalam sehari dia mengambil masa 30 minit di atas mesin larian atau melakukan aktiviti digemari seperti zumba bagi mengeluarkan peluh.

Sekiranya pada peringkat antarabangsa Tinie telah berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok lima terbaik, gadis berusia 22 tahun ini terlebih dahulu pernah dinobatkan sebagai Miss Malaysia Kebaya 2016.

Memiliki ketinggian 173 sentimeter, pasti memberi kelebihan kepada Tinie untuk mengungguli pertandingan seperti ini.

Hari ini selain terikat dengan kontrak kemenangan Miss Lumiere International 2017 selama setahun, Tinie juga sering dijemput menjadi juri untuk pertandingan ratu cantik di dalam negara.

Walaupun sudah didedahkan dengan dunia permodelan dan ratu cantik sejak berusia empat tahun, Tinie bagaimanapun sering dilihat bersama ibu tercinta, Salimi Morah Ali.

Selesa ‘dikawal’ ibu sendiri ke mana sahaja, bagi Tinie dia senang begitu kerana ibunya cukup memahami dan mengetahui keperluannya.

“Ibu adalah segala-galanya. Dialah pembantu peribadi, pengawal, pemandu, penasihat dan serba serbi diuruskan oleh ibu termasuk jadual harian.

“Walaupun orang luar mungkin nampak seolah-olah dikongkong tetapi hakikatnya tidak, malah saya lebih suka ibu berada di sisi.

“Lagipun apa yang dilakukan oleh ibu adalah untuk kebaikan agar saya tidak ditipu atau dipermain. Saya cukup berterima kasih kepadanya kerana kejayaan yang dikecapi adalah hasil dorongan dan sokongan yang diberikan,” katanya.